Usaha sekumpulan warga yang menggelarkan diri
mereka sebagai Kumpulan Rukunegara Mukadimah Perlembagaan (Kumpulan RMP), yang
membawa agenda ingin menjadikan Rukunegara sebagai mukadimah perlembagaan
merupakan sesuatu yang perlu dipuji. Lupakan seketika individu yang berdiri di
belakang inisiatif ini. Perkara yang harus kita lihat ialah idea dan hasrat
murni sekumpulan warganegara Malaysia yang jelas cuba mengembalikan sebuah
ideologi nasional yang tidak berdendang setelah sekian lama.
Usaha ini membuka mata banyak pihak, baik yang
menyokong mahupun menentang. Masing-masing cuba berhujah dengan sihat dan
terbuka. Ini menampakkan bahawa ada tanda positif yang dibawakan oleh Kumpulan
RMP dimana Rukunegara telah berjaya menjadi sebutan semula di awal tahun 2017
ini. Segala apa sahaja yang dibahaskan, dikupas dan dirungkai tentang wajar
atau tidak Rukunegara menjadi mukadimah perlembagaan akan terpahat sebagai
suatu sejarah tentang usaha memartabatkan peranan Rukunegara ke satu tahap yang
lebih tinggi berbanding kedudukannya dewasa ini.
Usaha memartabatkan Rukunegara ini adalah satu
contoh yang baik dan perlu diikuti. Pada zaman milenia ini, kita sudah tidak
lagi kisah akan peranan sebuah ideologi yang dahulunya penting dan diangkat
sebagai suatu pengikat masyarakat. Generasi pada masa kini tidak mengangkat
Rukunegara sebagai sebuah permata yang berharga kerana fungsinya hanya sebagai
titian kata dibibir yang dilafazkan ketika perhimpunan semata-mata. Generasi
kini terus akan melupakan Rukunegara sebaik sahaja zaman persekolahan mereka
tamat. Hasilnya, Rukunegara tidak dapat dihayati sehingga ke jiwa.
Rukunegara juga bukanlah suatu yang dianggap
sebagai perkara keperluan kepada golongan pertengahan usia iaitu daripada 20-an
hingga ke 40-an. Pada masa ini, rakyat sedang dalam kepayahan untuk mencari
jalan keluar daripada zaman kegawatan. Rakyat lebih selesa mengumpul harta dan
kekayaan berbanding bercerita tentang perpaduan yang pada mereka sudah lapuk
ditelan zaman. Justeru, pembudayaan ilmu tentang Rukunegara tidak ditularkan
kepada mereka yang berkaitan.
Terdapat pelbagai langkah yang boleh diambil
untuk menularkan Rukunegara ke dalam jiwa masyarakat. Usaha yang cuba dilakukan
oleh kumpulan RMP adalah salah satu langkah yang pragmatik. Terdapat beberapa
usaha lain yang turut sama boleh diunjurkan sebagai cadangan memperkasakan
ideologi nasional ini. Antaranya ialah dengan menjadikan ia sebagai salah satu
bacaan wajib di kawasan-kawasan tumpuan. Idea ini pernah cuba dipraktikkan oleh
bekas Menteri Penerangan, Datuk Seri Rais Yatim pada suatu ketika dahulu.
Walaupun ia tidak berjaya dilaksanakan secara total, ia tetap mendatangkan
impak yang berkesan jika dijalankan dengan penuh prihatin. Sebagai contoh,
dendangan Negaraku pada awal pagi dan bacaan doa di tempat rasmi kerajaan
merupakan salah satu usaha yang bagus untuk menambah aura positif dalam
kehidupan seseorang.
Cadangan menambah ikrar Rukunegara setiap pagi
akan membawa golongan pekerja untuk tidak akan sesekali lupa bahawasanya negara
kita Malaysia, mendukung cita-cita hendak:
- Mencapai perpaduan yang lebih erat
dalam kalangan seluruh masyarakatnya
- Memelihara cara hidup demokratik
- Mencipta satu masyarakat yang adil di
mana kemakmuran negara akan dapat dinikmati secara adil dan saksama
- Menjamin satu cara liberal terhadap
tradisi-tradisi kebudayaannya yang kaya dan berbagai corak
- Membina satu masyarakat progresif yang
akan menggunakan sains dan teknologi moden
Langkah ini akan membantu setiap masyarakat memulakan pagi dengan lafaz
ikrar yang membawa makna yang cukup indah untuk menggambarkan rakyat Malaysia.
Maka kami rakyat Malaysia berikrar
akan menumpukan seluruh tenaga dan usaha kami untuk mencapai cita-cita tersebut
berdasarkan atas prinsip-prinsip yang berikut:
- Kepercayaan
kepada Tuhan
- Kesetiaan
kepada Raja dan Negara
- Keluhuran
Perlembagaan
- Kedaulatan
Undang-undang
- Kesopanan
dan Kesusilaan
Kerajaan melalui Jabatan Perpaduan Negara dan
Integrasi Nasional telah mengambil insiatif untuk memperkasakan Rukunegara
melalui penubuhan Kelab Rukunegara di sekolah-sekolah dan Sekretariat
Rukunegara di universiti awam dan swasta. Setakat ini, terdapat 3745 kelab
Rukunegara di sekolah rendah dan 2323 buah kelab Rukunegara di sekolah menengah
di seluruh Malaysia. Di universiti awam dan swasta sekretariat Rukunegara
ditubuhkan untuk memastikan mahasiswa mampu menyampaikan mesej tersirat tentang
Rukunegara dalam kelompok varsiti. Langkah diambil oleh JPNIN ini harus
dijadikan sebagai suatu langkah positif yang menggalakkan penyebaran Rukunegara
dalam kelompok masyarakat.
Seterusnya, kita harus juga memikirkan
langkah-langkah untuk menyebarkan ideologi nasional ini kepada masyarakat di
kawasan luar bandar. Keterbatasan kita untuk mencapai semua pihak khususnya
dalam sesetengah bidang menyukarkan kita
untuk mendidik masyarakat secara total. Justeru, langkah yang paling berkesan
untuk menyebarkan ideologi nasional ini ialah dengan memaksimumkan penggunaan
media massa yang mempunyai jaringan yang meluas dan pantas. Akhbar-akhbar
tempatan ada dimana-mana sahaja di Malaysia. Rancangan televisyen percuma juga
mempunyai jaringan penonton yang meliputi seluruh penduduk. Berdasarkan hal
ini, kita seharusnya menggunakan kuasa media untuk terus-menerus menyebar dan
menyiarkan tentang Rukunegara kepada masyarakat supaya Rukunegara dimengerti
dan difahami. Ini akan sekaligus membawa perubahan makna yang besar kepada
Rukunegara.
Percayalah, Rukunegara adalah ideologi nasional
yang paling utuh untuk menyatu-padukan masyarakat Malaysia. Bukanlah hendak
menidakkan ideologi yang lain, tetapi sejarah penciptaan Rukunegara itu sendiri
sudah dimulakan dengan perpaduan yang utuh. Ia bukannya sebuah ideologi politik
semata-mata. Ia adalah gabungan daripada semua pihak yang ingin melahirkan
masyarakat Malaysia yang bersatu-padu dan tidak berasaskan kaum. Kita sudah
hampir 60 tahun merdeka tetapi masih belum ada satu sebab yang kuat untuk kita
berdiri atas nama bangsa Malaysia. Ini perlu diubah. Rukunegara harus menjadi
pemula kepada kejayaan ini. Kita semua, hatta daripada berstatus tinggi
hinggalah kepada golongan rakyat biasa harus memulakan langkah mempopularkan
semula Rukunegara. Kita sudah tiada terlalu banyak masa. Semoga Malaysia yang
sejahtera dapat kita bina dengan tertularnya semangat Rukunegara dalam rakyat
Malaysia.
Ishak Sairozi
Yayasan 1Malaysia
Comments
Post a Comment