"Seperti
yang kita ketahui keadaan banjir di Sarawak agak teruk dalam masa 3 hari ini.
Setakat ini kira-kira 7 ribu telah menjadi mangsa banjir. Namun ada perkara
yang amat menyedihkan kita disebalik banjir ini, kerana media-media arus
perdana dan stesen-stesen TV seperti tidak ambil endah banjir yang berlaku di
Sarawak. Kalau ada pun mereka membuat liputan berita mungkin hanya sekitar 2
minit saja. Kalau negeri-negeri di Semenanjung Malaysia yang dilanda banjir,
"arumbulak" kata orang Sarawak, setiap minit, setiap jam dan setiap
hari mereka akan buat liputan berita. Dari situ sudah nampak berlaku double
standard dan pilih kasih. Nasib baik ada laman sosial, kalau tidak mungkin
rakyat Malaysia tidak tahu yang Sarawak sedang dilanda banjir besar tahun
ini."
Dipetik daripada Page "KAMEK
MIAK SARAWAK"
Pilih Kasihkah kita?
Sebuah luahan daripada sebuah
akaun facebook biasanya akan dianggap sebagai satu luahan tanpa asas, tanpa
bukti, dan tidak menunjukkan keadaan yang sebenar. Begitu juga dengan akaun di atas. Walau
bagaimanapun, setelah meneliti semula di portal berita, dan media cetak, luahan
di atas seakan ada kebenarannya. Berita banjir di Sarawak seolah-olah sesuatu
yang tidak menjadi keutamaan. Terdapat beberapa media cetak dan portal berita
yang melaporkan tentang banjir di Sarawak tetapi dalam kolum yang kecil. Umum
mengetahui tentang peristiwa banjir di Sarawak hanya melalui laman sesawang dan
media sosial, itupun yang dilaporkan oleh mereka yang berasal dari Sarawak. Pilih
kasihkah kita?
Menurut Pegawai Perhubungan Awam
Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Sarawak Siti Huzaimah Ibrahim berkata
kini terdapat 7,177 mangsa banjir daripada 1,822 keluarga di pusat pemindahan
berbanding 7,636 daripada 1,917 keluarga malam tadi. Jumlah ini bukannya jumlah
yang sedikit. Dimana rasa peduli kita terhadap hampir 8 ribu manusia di negeri
bertuah ini. Pilih kasihkah kita?
Situasi ini jelas sekali berbeza
dengan banjir yang melanda Pantai Timur pada suatu masa dahulu. Hampir setiap
media melaporkan tentang banjir besar yang melanda negeri tersebut. Ramai pihak
menyatakan keprihatinan mereka baik golongan menteri, syarikat-syarikat korporat
dan badan sukarelawan. Kemusnahan harta benda, perkara ajaib ketika , dan kehilangan
nyawa, segalanya dilapor dan diceritakan dengan penuh rasa kemanusiaan dan
simpati. Tapi kenapa perkara yang sama tidak berlaku ketika banjir yang besar
melanda Sarawak? Pilih kasihkah kita?
Tepuk dada tanya selera. Sarawak
negeri terbesar di Malaysia yang akan menghadapi pilihanraya negeri pada tahun
ini perlu dibantu sebagaimana negeri-negeri yang lain. Hanya kerana Sarawak
dipisahkan oleh Laut China Selatan, itu tidak menjadikan Sarawak kurang
Malaysia. Sarawak juga Malaysia. Cubit peha kanan, peha kiri terasa jua. Bila
saudara seagama sejauh Syria boleh kita titipkan doa dan kumpulkan bantuan
untuk sama-sama meringankan beban kenapa perkara yang sama tidak boleh kita lakukan untuk Sarawak Bumi Kenyalang. Pilih kasihkah
kita?
Akhir kalam, Sarawak perlu diberi
bantuan banjir sesegera mungkin. Sebagai negeri yang kaya dengan hasil bumi,
negeri bumi kenyalang ini mampu menghadapi banjir tanpa bantuan mana-mana pihak
pun sebenarnya. Walau bagaimanapun, di saat mereka menghadapi musibah, sokongan
moral, keprihatinan kita dan sikap ambil berat terhadap mereka yang sedang
dilanda kesusahan seakan ubat yang paling mujarab dalam memperlihatkan
penyatuan dan perpaduan kita. Sikap sambil lewa dan tidak kisah kita hanya
sekadar menambah luka terhadap sebuah negeri terbesar di Malaysia. Justeru,
ayuhlah kita sama-sama menyalurkan sumbangan dan bantuan terhadap saudara kita
di Sarawak yang sedang menghadapi musibah banjir. Sedikit dari kita besar
maknanya untuk mereka. Lepas bah pasti ada yang berubah. Semoga warga Sarawak
tabah.
Ishak Sairozi
Eksekutif Yayasan 1Malaysia.
Comments
Post a Comment