Mulakan bacaan ini, dengan
menyebutkan semua ibu negeri dalam Malaysia. Kemudian, sebutkan semua darul
untuk setiap negeri. Jika salah, teruskan bacaan sehingga habis. Jika betul,
jangan terlalu berbangga, kerana ia hanya sebahagian kecil daripada apa yang
negara kita ada.
Inisiatif yang digerakkan oleh
kerajaan diberi nama #Negaraku merupakan sebuah inisiatif yang sangat bagus
terhadap mempromosikan semangat cintakan negara Malaysia ini. Tetapi, suatu
yang menjadi persoalan ialah, adakah kita benar-benar mengenali negara ini?
Kenalkah kita akan sebuah negara yang multietnik, pelbagai kaum, 13 negeri, dan
3 wilayah persekutuan? Tahukah kita akan nombor di tengah kad pengenalan untuk
setiap mereka daripada negeri berbeza? Tahukah kita semua tentang simbol-simbol
penting negara? Jata negara, warna bendera, bunga kebangsaan, negeri terbesar,
sungai terpanjang, dan pelbagai lagi keunikan di negara ini? Belum lagi kita
berbicara tentang Rukun Negara, yakni matlamat dan prinsipnya. Celikkah kita
tentang sejarah negara? Sejak sebelum terbentuknya Malaysia hinggalah 60 tahun
merdeka. Seperti mana dalam Lirik Negaraku yang diberi nafas baru, tentang “awang hitam kaji awan putih bila belayar”
dimana hampir seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira generasi tidak tahu akan
maknanya. Belum lagi bercerita tentang perlembagaan dan hak-hak yang dimiliki
oleh setiap warganegaranya. Jika sekarang kita ditanya dengan soalan sebegini,
percayalah, kebanyakkan kita akan gagal.
Tetapi apa yang kita akan lakukan
apabila kita tidak mengetahui tentang perkara ini? Kita kononnya malu apabila
negara luar, mentertawakan kita tentang 1MDB, negara luar bercerita tentang
perdana menteri kita, tetapi kita sendiri, gagal mempopularkan keunikan negara
kita di mata dunia. Dalam kesungguhan Kementerian Pelancongan menguar-uarkan
keunikan negara ini ke mata luar, kita sendiri masih gagal untuk menjadi duta
negara sendiri, baik yang berada di dalam apatah lagi di luar negara. Banyak
rungutan daripada mereka di luar negara yang kononnya malu dengan skandal 1MDB
yang melanda negara, tetapi tiada pun yang hendak mengambil inisiatif
mempromosikan berjuta keunikan dan keistimewaan yang dimiliki negeri pelbagai
bangsa, negara yang berkongsi budaya.
Kita bukan sekadar terkenal
kerana rasuah dan kisah skandal, kita terkenal kerana negara yang kita duduk
ini didiami oleh pelbagai bangsa yang jelas berbeza dan unik. Kita terkenal
kerana kita ada masyarakat yang bertoleransi lahir daripada pelbagai agama.
Kita terkenal kerana terdapat banyak tempat menarik. Kita terkenal kerana
terdapat flora dan fauna yang mengujakan. Kita terkenal kerana makanan tradisi
daripada pelbagai kaum di negara ini sangat menyelerakan. Dalam banyakbanyak
kebudayaan yang kita miliki, percayalah bahawa masih terlalu ramai masyarakat
dalam negara ini yang tidak kenal pun akan guru Nanak? Malulah sekiranya saat
membaca artikel ini, anda juga merupakan salah seorang yang tidak tahu siapa
itu Guru Nanak, dan siapakah Konfucius ?
Itulah sifat sebilangan besar
rakyat Malaysia. Kita lebih mengetahui tentang negativiti dan perkaraperkara
yang bersifat buruk. Kita sedar bahawa terdapat sisi negatif yang sedang
berlaku dalam negara, tetapi kita tidak sedar bahawa kita sendiri tidak
bersedia untuk membawa nama baik negara kita ke tahap yang lebih tinggi.
Bercerita tentang perkara ini, dimana silapnya kita? Adakah sistem pembelajaran
kita tidak menyentuh secara menyeluruh tentang perkara ini? Secara dasarnya,
kita mempunyai silibus-silibus tentang kenegaraan, tetapi sistem pendidikan
kita yang lebih berorientasikan peperiksaan tentang ilmu-ilmu yang lebih
penting seperti sains dan matematik telah menjadikan ilmu tentang kenegaraan
sebagai sesuatu yang hanya perlu tahu dan tidaklah sepenting ilmu yang perlu lulus.
Ketidaksudian kita untuk menerapkan tentang ciri-ciri kenegaraan menjadikan
kita terpaksa berdepan dengan masalah ketidakpedulian kita terhadap Malaysia.
Sakit untuk diterima tetapi inilah kenyataan yang harus kita benarkan.
Keduanya, sikap masyarakat
Malaysia sendiri yang melahirkan masyarakat yang tidak peka dengan jati diri
sendiri. Kita lebih menjaga tepi kain orang lain. Kita kisahkan semua benda
yang Indonesia ada, yang Singapura miliki, yang Amerika punya, yang menjadi hak
milik Arab Saudi. Kita melihat segala apa yang ada dan dimiliki oleh negara
luar adalah sesuatu yang lebih membanggakan daripada apa yang kita punya. Kita
lebih mengkaji tentang uniknya negara luar sampai terlupa membaca tentang
betapa hebatnya negara sendiri. Kita malu untuk meramas buku, kita segan dengan
ilmu. Sikap melebihkan negara luar inilah yang menjadikan masyarakat negara ini
tidak betul-betul mengenali Malaysia secara seluruhnya. Justeru, sikap cinta
terhadap negara sendiri harus kembali disemai. Supaya masyarakat lebih melihat
permata di negara sendiri, bukannya hujan emas di negara orang.
Sikap malas membaca dan mengambil
tahu jugalah menjadi punca kepada masyarakat Malaysia yang tidak tahu akan
perkara asas tentang Malaysia. Masyarakat kita tidak lebih daripada separuh
yang pernah menghabiskan bacaan tentang perlembagaan persekutuan. Kesannya,
kita tidak tahu akan hak-hak kita, kita sering tersalah sangka tentang perkara
153 dan sebagainya. Kefasikan kita dalam membaca, dan menuntut ilmu jelas
apabila kita ditanya tentang perkara-perkara asas tentang tempat yang kita
diami. Pelbagai kempen telah dilaksana, kempen jom membaca, hari perundangan,
dan macam-macam lagi, tetapi kita masih lagi gagal melahirkan masyarakat yang
gemar membaca dan mengambil tahu tentang Malaysia. Pelbagai forum telah
dilancarkan, tetapi mereka yang hadir hanyalah orang yang sama. Sama ada
aktiviti yang dijalankan tidak mampu menarik perhatian masyarakat sekeliling
ataupun masyarakat sekeliling yang tidak tertarik untuk mengetahui tentang Malaysia.
Tepuk dada tanya selera.
Melihat kepada segala
permasalahan yang berlaku, sedarkah kita bahawa kita sebagai rakyat Malaysia
tidak jujur dalam mengenali negara sendiri? Setiap perhubungan dibina dengan
kejujuran sebagai asasnya. Tetapi sebagai warganegara, kita sendiri tiada
kejujuran dalam mengenali tanah air, ibu pertiwi sendiri. Tanpa kejujuran ini,
negara Malaysia yang unik ini tidak akan dikenali di peringkat lebih tinggi.
Tanpa jati diri, kita akan lenyap ditelan arus globalisasi. Hang Tuah berkata
dengan megah, “takkan melayu hilang di dunia”. Tetapi apalah gunanya jika kita,
Melayu ataupun bangsa Malaysia tidak hilang di dunia, tetapi kewujudan kita
tidak dirasa? Kita harus disegani di segenap lapisan dunia sebagai bangsa
Malaysia. Tetapi untuk mereka kenal kita yang pelbagai kaum ini, kita sendiri
haruslah mengenali identiti dan keunikan yang ada yang menjadi jati diri negeri
ini. Hujan emas di negara orang, hujan batu di negeri sendiri. Yang paling
terbaik, tetaplah negeri sendiri. Ishak
Sairozi
Eksekutif Yayasan 1Malaysia.
Comments
Post a Comment