Syria dibom, Rohingya dibakar hidup-hidup. Maka
seluruh rakyat, daripada pucuk pimpinan sehinggalah golongan marhaen, menzahirkan
keprihatinan mereka sebagai saudara seIslam yang bersahabat di dunia,
bersaudara di syurga. Paris meledak, tembakan rambang dilepaskan di bar, semua
negara menunjukkan keprihatinan mereka dengan mengutus doa dan mengecam pelaku.
Tolak keganasan dan sebagainya dengan menggunakan alasan kemanusiaan. Ketika Harambe,
(seekor gorilla yang terpaksa ditembak mati kerana ada budak terjatuh ke
sangkarnya) dibunuh, keprihatinan dunia seolah-olah menunjukkan bahawa
kemanusiaan itu masih segar dibumi pelbagai bangsa ini.
Tetapi sangkaan itu meleset apabila tragedi
yang terjadi di Kelantan yang melibatkan kaum Orang Asli diceroboh haknya
sebagai seorang warganegara dan sebagai seorang manusia. Kisah yang diceritakan
mungkin tidak jelas kerana dikaburi media dan pemanipulasi cerita. Tetapi
secara ringkasnya, kita tidak langsung kisah tentang apa yang terjadi terhadap
mereka yang sebahagian daripada kita, rakyat Malaysia.
Kisah yang terjadi di Kelantan ini bukannya
kisah baharu yang wujud dua tiga hari yang lalu. Kisah balak ini adalah kisah
bertahun-tahun. Saban tahun, kawasan balak yang dicerobohi ini kini telah
sampai terlalu ke pendalaman sehingga menceroboh tempat tinggal Orang Asli.
Mereka terlebih dahulu berada di situ berbanding penceroboh-penceroboh yang
berlesen ini datang untuk mengambil hasil bumi. Sayangnya, kerajaan negeri berpendapat Orang Asli telah menceroboh rizab yang telah
diisytiharkan sebagai hak milik kerajaan negeri.
Tanpa mengetahui bahawa Orang Asli lebih lama
mendiami kawasan yang dicerobohi, kerajaan negeri terus dengan gagah berani mengisytihar bahawa
merekalah yang memiliki setiap sudut hutan dan sumber rezeki di tanah tersebut.
Justeru, mereka bukanlah menceroboh kediaman Orang Asli sebaliknya mereka
mengambil hak mereka. Ya, hak mereka yang sebenarnya bukan hak mereka!
Kisah tragis ini tidak diberi liputan meluas,
seluas saudara seIslam di Rakhine. Kisah tentang Orang Asli ini dikaburi oleh
media PAS dengan menyalahkan Orang Asli yang membuat sekatan terhadap aktiviti
pembalakan. Orang Asli daripada negeri lain bersolidariti mempertahankan hutan
yang didiami oleh keluarga dan sahabat mereka. Orang Asli daripada negeri Perak
dan Pahang membuat benteng menggunakan diri mereka sendiri. Sambil berdiri
menghalang pembalak yang rakus mereka menyanyikan lagu Negaraku lagu kebangsaan
kita. Lagu kebangsaan mereka. Tetapi malangnya, sebagai akibat, mereka ditahan
dan dipenjarakan. Ia sangat menyedihkan melihat apa yang berlaku di tempat yang
paling mereka sayangi akhirnya diceroboh kerana hasil hutannya terlalu berharga
kepada kerajaan negeri.
Tindakan harus diambil terhadap mereka ini.
Solidariti kita sebagai warganegara Malaysia yang cintakan keamanan seharusnya
dijadikan penguat semangat kepada mangsa yang tertindas di bumi serambi Mekah.
Kepada Kerajaan Negeri Kelantan : -
Ingatlah bahawa kamu pernah berkata kepada
semua penduduk negara ini tentang peringatan-peringatan yang dibacakan sebagai
mendapatkan undian supaya kamu boleh memerintah sebuah negeri yang kaya dengan
hasil tanah. Maka hari ini, izinkan kami memberi peringatan tentang beberapa
perkara sekadar mengingatkan kembali beberapa asas Islam yang mungkin telah
kamu lupakan kerana persekitaran yang mendesak dan mempengaruhi kamu.
Beringatlah semula para pemimpin yang amanah
bahawa kamu pernah mengingatkan tentang peranan manusia sebagai khalifah di
bumi yang dimiliki al Khaliq ini. Khalifah yang kamu perkatakan itu tugasnya
bukanlah sekadar memerintah, menyampaikan
amanah dan berbalah semata-mata. Khalifah yang diharapkan juga bukanlah
untuk memenuhi tuntutan manusia semata-mata bahkan untuk alam sejagat yang
dicipta untuk memberi kamu nilai tambah dalam kehidupan.
Ingatlah ketika kamu berbicara tentang nasib
saudara yang ditindas, yang hak mereka dirampas kamu menyuruh kami bersifat
empati, meletakkan diri kami pada situasi yang terjadi. Kami sedar dan bermuhasabah
diri. Tetapi pada hari ini wahai pembalak kapitalis dan kerajaan negeri,
sedarlah bahawa seorang Islam perlu ada nilai ihsan dalam diri. Sedarlah bahawa
Allah melihat apa yang kamu lakukan pada hari ini. Allah mengetahui apa yang
ada di dalam hati. Maka segeralah kamu juga bermuhasabah diri, kembali menjadi
Islam yang benar-benar jati.
Mungkin tiada qunut nazilah yang akan dibacakan
sepertimana untuk saudara-saudara seIslam kita di Rohingya. Tetapi sebagaimana
Allah memperkenankan doa-doa umat Islam terhadap Israel yang menyaksikan
kebakaran terbuka di Israel, semoga akan ada balasan yang setimpal dirasai oleh
mereka yang menyalahgunakan kesucian agama dan bersifat kejam atas nama
kapitalis.
Allah adalah Tuhan bagi orang Islam. Tetapi
mereka yang melakukan kekejaman ini, Tuhan kamu bukan Allah, tetapi
kapitalisme. Mereka melihat penebangan pokok sebagai pembalakan, Orang Asli melihat pokok-pokok sebagai rumah pelbagai
kehidupan. Orang Asli penjaga ekosistem
alam zaman berzaman. Tidak ada pencemaran tanpa pembalakan. Alam rosak kerana
mereka yang berkuasa menceroboh kerana ingin lebih kaya. Ayuhlah kita cakna
demi Orang Asli. Kepada Orang Asli, mungkin ini tidak akan sampai kepada kamu.
Tetapi harapan kami, semoga segala penindasan ini dapat kita hentikan. Semoga
takbir yang lebih ikhlas akan mentadbir dengan lebih belas.
Solidariti dengan Orang Asli.
Ishak Sairozi
Eksekutif Yayasan
1Malaysia.
Comments
Post a Comment