Menghayati bait-bait lirik yang didendangkan
oleh Noraniza Idris dalam lagu dikir puteri akan membawa kita kepada tradisi
dikir barat yang sangat indah melodinya. Kaya dengan tradisi dan nasihat untuk
bermuafakat dalam masyarakat lirik ini ditambah satu mesej yang padat iaitu
pada rangkap berikut : -
Satu rumpun
hai satulah kata,
Dua hati
berpadulah jiwa,
Tiga temu
setia memangku,
Empat pula
sudah bersimpul satu.
Apabila kita hayati bait-bait lirik ini, secara
siginifikannya ia boleh kita kaitkan dengan sejarah dan juga dijadikan iktibar
pada apa yang berlaku pada hari ini.
Untuk pergi kepada sejarah, kita perlu kembali ke
tarikh 1 Mac 1946 ketika satu himpunan besar-besaran yang dikenali sebagai
Kongres Melayu Se-Malaya pertama telah diatur oleh Persatuan Melayu Selangor di
Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Bharu, Kuala Lumpur. Ketika ini, satu rumpun
bangsa Melayu telah bersatu kata untuk membentuk sebuah persatuan yang
berfungsi membantah Malayan Union dan menyelamatkan Tanah Melayu daripada
cengkaman penjajah. Pada masa inilah satu rumpun mencapai satu kata sepakat
untuk membentuk UMNO yang kita kenali sehingga sekarang.
Selepas penubuhan ini, dua pihak, iaitu Melayu dan
Inggeris yang disertai Sidang Pleno, mengadakan pertemuan yang disifatkan
sebagai pertemuan dua hati yang berpadu untuk membincangkan tentang kewujudan
Perjanjian Persekutuan pada Jun hingga Disember 1946. Pada akhir pertemuan dua
hati antara Melayu dan Inggeris ini, Sidang Pleno telah menghasilkan apa yang
dikenali sebagai Blue Book setebal
100 halaman. Pertemuan dua pihak inilah yang akhirnya telah membawa kepada
terbentuknya perjanjian persekutuan Tanah Melayu yang ditandatangani wakil
Raja-raja Melayu dan Sir Edward Gent pada 21 Januari 1948 yang berlangsung di
King House. Perjanjian ini penting terhadap terbentuknya persekutuan Tanah
Melayu pada 1 Februari 1948. Hasilnya, Malayan Union berjaya dimansuhkan dan negeri-negeri
Melayu bersatu untuk membentuk sebuah persekutuan hasil daripada pertemuan dua
pihak.
Menelusuri beberapa tahun selepas itu, kita
lihat bagaimana tiga kaum bertemu dan setia untuk memangku satu sama lain
membentuk gerakan untuk memperjuangkan kemerdekaan sebuah negara bangsa yang
berdaulat. Melayu, Cina dan India ketika itu bertemu membentuk perbincangan
untuk membawa satu rombongan meminta Malaysia dimerdekakan. Tunku Abdul Rahman,
Tun Tan Cheng-Lock, dan Tun V.T Sambanthan adalah tiga nama yang mewakili tiga
kaum berbeza yang membawa amanat seluruh tiga kaum Malaysia untuk sama-sama
bebas daripada cengkaman penjajah dan membentuk sebuah negara yang merdeka.
Usaha murni tokoh kemerdekaan ini membawa kita kepada nikmat kemerdekaan yang
telah kita nikmati sehingga ke hari ini hasil daripada pertemuan 3 kaum yang
sedia untuk memangku satu sama lain.
Kemudiannya pada 1963, satu usaha membentuk
sebuah negara berdaulat yang diberi nama Malaysia digerakkan melalui usaha
meyatukan 4 kawasan di sekitar Tanah Melayu iaitu Tanah Melayu (Semenanjung),
Singapura, Sabah dan Sarawak melalui usaha yang digerakkan oleh Tunku Abdul
Rahman. Tunku Abdul Rahman, mula-mulanya menyuarakan pandangannya tentang 4
wilayah ini di Singapura pada 27 Mei 1961, kemudian melawat Sabah dan Sarawak
untuk menyatakan hasrat untuk bergabung membentuk sebuah negara bangsa bernama
Malaysia. Penubuhan Jawatankuasa Perunding Perpaduan Kaum (JPPK) kemudiannya
ditubuhkan di Singapura pada Julai 1961 yang diketuai oleh Donald Stephens dari
Sabah bertujuan untuk membanci penerimaan penduduk terhadap gagasan pembentukan
Malaysia. Kemudiannya Suruhanjaya Cobbold dibentuk, dan usaha menyimpulkan 4 S
ini (Semenanjung, Singapura, Sarawak dan Sabah) menerima tentangan daripada
Filipina dan Indonesia. Tetapi kerana kuatnya muafakat dan kesefahaman yang
telah disemai kepada semua warga ini, akhirnya, realiti telah membawa kita
kepada terbentuknya negara bangsa berdaulat bernama Malaysia. Ia adalah
manifestasi 4 S yang telah bersimpul untuk menjadi satu.
Sejak itu, Malaysia mula terkenal sebagai
sebuah negara unik yang terdiri daripada pelbagai kaum hasil daripada gabungan
ini. Pada masa ini, semua negara telah bersetuju bahawasanya Malaysia merupakan
negara, dan setiap negeri adalah sebahagian daripada Malaysia termasuklah Sabah
dan Sarawak. Ini hasil pemindaan perlembagaan yang menjadikan semua negeri sama
rata dan bukanlah seperti yang pada mula-mula Malaysia ditubuhkan.
Pada 1976 ketika perlembagaan dipinda Sabah dan
Sarawak telah diberikan kelebihan daripada segi autonomi. Autonomi yang
dinikmati oleh Sabah dan Sarawak dalam pindaan Perlembagaan 1976 telah
menyamakan semua negeri di Malaysia. Perlembagaan yang sama jugalah telah
digunakan untuk mengiktirafkan kedudukan istimewa Sabah dan Sarawak.
Keadaan ini dipersetujui semua sehinggalah kini
apabila terdapat usaha untuk membawa semula status sebuah negeri setaraf dengan
sebuah negara. Usaha ini seakan-akan satu cubaan menangguk di air keruh.
Kehilangan Singapura pada 1965 sebenarnya satu mesej tentang perpaduan yang
tidak berjaya. Justeru, pada dasawarsa ini, keputusan Sarawak untuk meminta
status yang sama seolah-olah cuba mengulang tragedi tersebut.
Jika kita nilai tindakan Ketua Menteri Sarawak
pada hari ini, ia berpunca daripada sikap ketidakadilan kita sendiri yang
seakan-akan memisahkan panggang dari api. Kita jauhkan tebing dengan aur, kita
keluarkan isi dari kuku. Sedangkan Sarawak adalah negeri terbesar di Malaysia
tetapi sentimen Sarawak for Sarawakians tidak pernah kita ambil peduli apa
puncanya kejadian sebegini berlaku. Kita seharusnya membuat pengagihan yang
adil antara seluruh negeri di Malaysia. Ketidakadilan akan membuatkan munculnya
ketidakpuasan hati seperti apa yang berlaku di Sarawak pada hari ini.
Selain itu, Sarawak juga tidak perlu untuk
mengambil pendekatan yang terlalu drastik seperti yang dicadangkan oleh pihak-pihak
tertentu. Perbincangan secara dua hala antara kerajaan persekutuan dan kerajaan
negeri merupakan satu bentuk pendekatan yang positif untuk diambil berbanding
tindakan yang memberi ancaman kepada perpecahan negeri yang pertama mempunyai Bandaraya
Perpaduan ini. Mungkin tindakan ini
dianggap sesuatu yang populis. Walau
bagaimanapun, tindakan provokatif ini harus ada sifat berhati-hati. Pada
bila-bila masa sahaja, akan ada pihak yang cuba menangguk di air keruh,
memanipulasi tindakan yang diambil ini. Sebagai contoh, selepas kenyataan ini
dikeluarkan oleh beberapa individu serta kumpulan, terdapat pihak yang telah
mencanangkan bahawa Sarawak mahu keluar dari Malaysia. Ini sama sekali
kenyataan yang tiada asas. Tetapi kenyataan yang dimanipulasi menjadikan berita
ini tersebar dalam rakyat walaupun ia berbentuk fitnah.
Sehubungan dengan itu, Yang Berbahagia Ketua
Menteri Sarawak juga diharap bersikap sederhana dan seimbang dalam usahanya
memperjuangkan hak Sarawak dalam Malaysia.
Kita telah bersimpul menjadi satu, dan sama-sama berjanji untuk
mendaulatkan negara kita negara Malaysia. Untuk menyelesaikan masalah ini,
keadilan dalam setiap perkara melibatkan semua negeri harus dimainkan oleh
kerajaan dan semua pihak. Kita semua seharusnya bersifat berkongsi semua bersama-sama
meski jarak memisahkan kita. Hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah,
gunung sama didaki, lurah sama dituruni. Semoga apa yang kita ada hari ini,
akan kekal bersatu seperti mana pesan orang dulu-dulu dalam lagu.
Empat belas melintang
jalurnya,
Semua negeri dalam
Malaysia,
Satu suara satu
semangat,
Itu sumpah warga
berdaulat.
Ishak Sairozi
Eksekutif Yayasan
1Malaysia.
Comments
Post a Comment