Ia pasti menjadi
sejarah. Tidak kira kali keberapa kemerdekaan negara ini disambut oleh
warganegaranya ia tetap akan mengukir sejarah yang sangat bermakna kepada
negara. Malaysia merupakan satu negara yang unik dimana pelbagai kaum hidup
dalam suasana aman harmoni dan telah merdeka lebih daripada separuh abad.
Negara ini, daripada segi sejarah merdekanya merupakan kisah silam yang indah
tentang perjuangan pelbagai bangsa menuntut kemerdekaan negara.
Malaysia pada
tahun ini akan menyambut kemerdekaan yang ke 59. Disebalik 59 tahun kemerdekaan
ini kita sewajarnya perlu mengambil iktibar sejarah kemerdekaan negara ini.
Datuk nenek kita, adalah pejuang merdeka yang sebenar. Bekas-bekas pemimpin
kita adalah pahlawan kita. Toleransi dan penerimaan pada zaman sebelum merdeka
adalah iktibar yang harus kita renung dan muhasabahkan hinggalah dewasa ini.
Kita hidup dalam lipatan memori sejarah perjuangan para perajurit yang telah
bermandi darah, berpeluh keringat, memerah kudrat demi kesejahteraan masyarakat
pada masa kini. Justeru, merdeka dan sejarah tidak dapat dipisahkan.
Malangnya, kisah
sejarah kemerdekaan hanyalah silibus yang diletakkan sedikit sahaja dalam
sukatan pelajaran di sekolah. Sejarah kemerdekaan hanyalah cerita kecil dalam
buku teks sejarah, buku sivik dan kewarganegaraan, serta subjek kajian
tempatan. Kisah tentang kemerdekaan juga hanya diceritakan dalam Kem Biro Tata
Negara, Program Latihan Khidmat Negara dan pegawai yang dipilih mengikuti
program Pegawai Tadbir Diplomatik dimana hanya segelintir yang mendapat input
tentang sejarah merdeka. Kisah merdeka hanya diceritakan kembali berulang kali
hanya ketika bulan lapan memasuki tarikhnya. Kita tidak berminat untuk
bercerita tentang kisah merdeka kita sekiranya tiada keadaan mendesak yang
menyuruh kita berbuat demikian. Oleh sebab itulah, merdeka pada hari ini,
hanyalah sebuah cerita lampau yang seakan tidak bermakna kepada masyarakat era
baru.
Pada beberapa
tahun kebelakangan ini, kita sebenarnya semakin kurang semangat kemerdekaan
dalam diri kita. Lihat sahaja di jalan raya pada bulan Ogos. Kereta berjenama
Malaysia banyak dijalan raya tidak kurang juga jenama luar negara tetapi boleh
dikira hanya beberapa sahaja yang bersemangat patriotik melekatkan bendera diatasnya.
Bendera Malaysia, jalur gemilang tidak berkibar semegah dan sebanyak dahulu.
Bukan sahaja dijalan raya, bahkan organisasi-organisasi kecil dan besar,
dikampung ataupun dibandar, kebanyakannya tiada inisiatif sendiri untuk
mengibarkan jalur gemilang di bangunan mahupun premis mereka. Ini menunjukkan
semangat merdeka kita sudah semakin pudar.
Menyemai
kebanggaan pada bendera merupakan salah satu ciri penting dalam pembinaan
negara. Rakyat Malaysia seharusnya berbangga dengan bendera kebangsaan mereka kerana
ia merupakan lambang kemegahan dan patriotisme kepada negara yang dapat
membantu usaha-usaha ke arah mempromosikan dan mengukuhkan lagi proses
pembinaan negara dalam negara kita yang berbilang kaum, agama dan budaya ini.
Bendera Jalur
Gemilang melambangkan kesetiaan, kesatuan dan patriorisme dan adalah penting
untuk kita menanam semangat dan nilai-nilai nasionalisme dan patriotisme ini di
kalangan generasi muda.
Salah satu cara
untuk menjadikan generasi muda kita patriotik dan bersemangat nasionalisme
adalah dengan mendidik mereka menghormati dan mencintai bendera. Menganjurkan
kempen ‘Cintakan Bendera Kita’ di sekolah-sekolah, di kalangan anak-anak muda
mustahak bagi memberikan mereka kefahaman tentang kepentingan bendera
kebangsaan dan maksud di sebaliknya. Dan ini tidak seharusnya diadakan hanya
bersempena dengan sambutan hari kemerdekaan, malah sepanjang tahun.
Disamping
semangat merdeka yang semakin pudar, kita juga sudah semakin kurang semangat
patriotik terhadap negara yang kita sayangi ini. Disebalik kisah hebat negara
merangkul pelbagai kejayaan dan pencapaian di mata dunia masih terdapat rakyat
yang tidak cinta dan sayangkan negara. Banyak kisah-kisah penghinaan terhadap
negara sendiri kini sedang kita hadapi. Pelbagai isu yang menjejaskan perpaduan
dan keamanan negara menunjukkan sikap tidak patriotik kita terhadap Malaysia.
Di pelbagai tempat di negara ini kita lihat bahawa masalah-masalah yang
berkaitan dengan sikap kita terhadap persekitaran dan masyarakat memperlihatkan
bahawa kita sudah tidak sayang akan negara ini. Pembuangan sampah merata,
vandalisme hinggalah ke kisah pengeboman yang berlaku di Puchong adalah
cerita-cerita yang menunjukkan bahawa kita tidak sayang kepada Malaysia dan
keamanan yang dimilikinya.
Kelantangan
beberapa pengguna media sosial yang mengutuk Malaysia dan mencabar
kedaulatannya turut dikesali. Akaun palsu yang tumbuh bak cendawan digunakan
untuk memburukkan lagi institusi di Malaysia seperti PDRM, SPRM malah majlis
Raja-Raja Melayu juga tidak terlepas daripada dihina melalui media sosial.
Keterbukaan kita telah mengikis dan menghakis nilai murni dan cinta kita kepada
raja dan negara- prinsip Rukun negara Kedua.
Menjelang 59
tahun kemerdekaan negara. Kita seharusnya pergi lebih jauh kehadapan menuju
negara maju menjelang tahun wawasan. Kita perlu sedar bahawa negara ini bangun
dan terus berjaya kerana kisah lampaunya yang dipenuhi sejahtera pelbagai
bangsa. Perpaduan adalah tunjang utama kemerdekaan negara kita. Justeru,
masyarakat pada hari ini perlu bermuhasabah diri menilai tentang penghayatan
kemerdekaan yang ada dalam diri. Setiap pihak haruslah bersatu padu
mencambahkan lagi benih kemerdekaan supaya sejarah semakin subur dihayati oleh
masyarakat pelbagai kaum negara ini.
Marilah kita
semua bersatu hati untuk berjanji akan menjadikan merdeka tahun ini sebagai
sambutan yang gemilang. Marilah kita sama-sama kembali menghayati erti
kemerdekaan yang telah 59 tahun kita kecapi. Marilah kita sama-sama mengibar
jalur gemilang kebanggaan kita disemua tempat yang ada. Marilah kita
menyebarkan cerita tentang sejarah merdeka kepada semua generasi muda dan bakal
pewaris bangsa. Marilah kita hakis nilai negatif masyarakat dalam usaha
melahirkan masyarakat yang merdeka dan sejahtera. Akhir kata, mari kita seluruh
warganegara, ramai ramai menyambut hari merdeka. Merdeka!
Comments
Post a Comment