Suatu ketika terdengar satu baris keramat, jika tidak suka dengan negara
ini, sila pindah ke negara lain. Kini muncul pula kalimat baru, jika bercakap
tidak baik tentang kerajaan, hak ke luar negara akan dibekukan. Kes ini
bagaimana? Rakyat kini hilang keistimewaan sekiranya rakyat membicarakan
perkara yang buruk tentang kerajaan. Kerajaan Persekutuan kini sudah berkuasa
untuk menghalang kita daripada keluar negara tanpa perlu memberi sebab
sekiranya kita telah dihalang. Menggunakan hujah, passport ialah satu
keistimewaan dan bukannya hak yang diberikan kepada warganegara, maka kebebasan
bersuara dan pergi ke mana sahaja sudah disekat secara halus.
Pelaksanaan dasar ini suatu kaedah yang bagus untuk mengawal pergerakan
mereka yang sangat bermotifkan untuk menjatuhkan kerajaan. Kita seharusnya
faham bahawa sememangnya wujud pihak yang cuba memburukkan kerajaan di dalam
dan di luar negara. Hal ini kita buktikan dengan karikatur gambar Perdana
Menteri kita diluar negara yang disarkastikkan dengan lukisan-lukisan yang
menjatuhkan imej peribadi seorang pemimpin. Halangan ini juga merupakan satu
bentuk mengatasi yang dianggap berkesan untuk menghalang seseorang daripada
cuba memalukan kerajaan pada masa ini.
Walau bagaimanapun, selaku kerajaan yang tidak gusar dan tidak membuat
sebarang kesalahan, adalah agak keterlaluan untuk mengaplikasikan pendekatan
ini kepada negara yang terkenal dengan amalan demokrasi dan hak bersuara yang
dijunjung tinggi dalam perlembagaan. Keseriusan kerajaan dalam menghalang
mereka-mereka yang bersuara menjatuhkan kerajaan ini secara tidak langsung
telah menutup terus ruang rakyat untuk menyuarakan pendapat mereka tentang
kerajaan pada masa kini. Adakah kerajaan pada masa kini tidak boleh langsung
dikritik sekiranya dasar-dasar yang dibuat tidak mendatangkan manfaat? Adakah
kita hanya perlu memberi pujian semata-mata kepada kerajaan yang wujud pada
hari ini?
Hak bersuara di Malaysia kini semakin tergugat apabila segala medium
yang digunakan untuk menyuarakan pandangan dianggap sebagai usaha menjatuhkan
kerajaan. Kerajaan tidak boleh bersifat terlalu sempit dan merasakan mereka
tidak akan terlepas daripada melakukan kesalahan. Jika setiap teguran tidak
diambil bagaimana kita ingin mewujudkan kerajaan yang bertulang belakangkan
kepentingan rakyat. Keterbukaan kerajaan menerima kritikan-kritikan daripada
sesiapa menandakan bahawa kerajaan seiring dalam usaha membentuk Malaysia yang
lebih berjaya.
Keterbukaan negara lain yang menerima kritikan-kritikan rakyat tidak
pula menjadikan negara tersebut mundur. Amerika Syarikat yang mana Presidennya
disarkastikkan jutaan kali di media sosial langsung tidak terasa hati dan masih
boleh memimpin negara tersebut dengan jayanya. Di Malaysia, hanya kerana satu
ayat di media sosial, pemilik akaun
bernama Joe telah disaman dengan alasan memalukan pemimpin negara.
Rapuhnya hati kerajaan hinggakan diusik dengan satu ayat juga boleh disaman
sehingga puluhan ribu.
Selepas pelbagai langkah-langkah keselamatan diambil, tindakan menyekat
rakyat keluar negara hanyalah suatu ruang yang menampakkan ketakutan kerajaan
menerima pandangan rakyat secara terbuka. Jika tak salah, kenapa perlu
berselindung. Hentikan segera dasar ini dan berikan kebebasan untuk rakyat
Malaysia keluar melihat dunia dan membawa balik segala kemajuan yang ada untuk
mengubah apa yang tiada di Malaysia. Jauh berjalan luas pandangan. Jangan
jadikan Malaysia sebuah tempurung untuk dihuni oleh katak-katak yang tidak
bebas melihat luarannya.
Ishak Sairozi
Comments
Post a Comment