Festival Filem
Malaysia(FFM) yang ke 28 baru sahaja mengeluarkan senarai calon akhirnya pada
minggu ini. Menjangkakan sokongan padu daripada peminat lakonan tanah air,
malangnya, perkara sebaliknya yang berlaku. Sebaik sahaja senarai akhir
pencalonan filem dikeluarkan, FFM telah menerima kecaman daripada mereka yang
berpengaruh dalam seni. Antara yang mengeluarkan kenyataan mengecam FFM ialah PENULIS (Persatuan Penulis Lakon Layar Kuala
Lumpur dan Selangor). PENULIS mengecam FFM mewujudkan pengasingan dalam
pengkategorian dan disebut sebagai rasis.
Isu ini membuat Yayasan 1Malaysia tertarik
untuk turut sama mengulas tentang apa yang berlaku dalam senarai akhir calon
yang dikeluarkan oleh FFM. Tidak dapat dinafikan bahawa apa yang disuarakan
oleh PENULIS ada asasnya. Kita lihat bahawa FFM seolah-seolah sengaja membuat
dua kategori bahasa Inggeris dan bahasa Malaysia sedangkan ini adalah Festival
Filem Malaysia. Berikut merupakan apa yang disuarakan oleh Penulis dalam
kenyataan media mereka pada 3 Ogos 2016 :-
"Mengapakah FINAS Malaysia mewujudkan
kategori yang rasis seperti Filem Bukan Bahasa Melayu?
Dimanakah FINAS Malaysia dalam
memupuk semangat perpaduan dalam Sinema Malaysia? Dimanakah konsep 1Malaysia
yang disarankan oleh kerajaan?
Ini Festival Filem Malaysia, bukan Festival Filem
Melayu!
Sebagai penulis lakon layar professional, kami melihat
pencalonan FFM makin memalukan Negara tahun demi tahun, dan dengan ini kami
memohon agar FINAS
Malaysia sebagai pengelola acara ini merombak semula mekanisme
pencalonan serta penapisan pemilihan pencalonan untuk acara yang sepatuntya
menjadi acara kemuncak industri filem Malaysia."
Isu ini
seharusnya tidak boleh dipandang remeh. Kita seharusnya sudah tiada pengasingan
khasnya hanya kerana perbezaan bahasa dalam filem sedangkan filem di Malaysia
bercerita tentang masyarakat Malaysia. Sedih apabila filem yang berkualiti
tinggi dan berfungsi menyatukan rakyat Malaysia seperti filem "Ola Bola"
dianggap sebagai bukan filem terbaik untuk kategori bahasa Melayu kerana 60
peratus bahasa yang digunakan ialah bahasa Inggeris. Ola Bola adalah filem yang
menyatu-padukan rakyat Malaysia pada awal tahun ini dengan semangat kesukanan
dan kecintaan kepada pasukan bola sepak negara. Kita menang sama-sama, kita
kalah sama-sama tetapi ia diasingkan daripada pencalonan bersama.
Benar bahawa
Bahasa Melayu adalah bahasa yang harus kita banggakan dan harus kita dahului
berbanding bahasa lain, tetapi jika melihat konteks lain dalam sesuatu
pemilihan, FFM perlu adil dalam pencalonan filem berkualiti di Malaysia. Memalukan
apabila filem berkualiti seperti Ola Bola dan Jagat diletakkan lebih rendah taraf
kualitinya berbanding filem "Suamiku Encik Perfect 10" dan "Mat
Moto – Kami Mat Moto Bukan Mat Rempit". Adakah kualiti sesuatu filem
hanyalah pada nilai kebobrokan masyarakat dan cinta semata-mata? Kita tidak
pernah mahu menjadikan perpaduan sebagai kepentingan negara berbilang kaum ini.
Walaupun isu
yang diketengahkan hanyalah perbezaan dua kategori untuk filem terbaik bahasa
Melayu dan bahasa Inggeris dianggap remeh tetapi ia bukan setakat itu sahaja.
Isu ini sebenarnya telah kembali membawa kita ke zaman penjajahan. Kita
sangkakan bahawa kita telah merdeka hampir 59 tahun dan tidak terikat dengan
dasar penjajah. Tapi malangnya, tindakan FFM ini seolah-olah memberitahu bahawa
kita tidak pernah terlepas daripada dasar pecah dan perintah. Kita masih dalam
kelompok tersebut. Kita sedang dipecah-pecahkan dan diperintah oleh sebab
tindakan kita sendiri. Jadi bagaimana kita boleh merdeka jika terus dalam
keadaan begini.
Pada hari ini,
FINAS, FFM, dan mereka yang di dalam industri seni perlu bermuhasabah diri,
terhadap apa yang berlaku. Tindakan merombak semula pencalonan dan memulihkan
keadaan adalah sangat diharapkan. Industri seni Malaysia adalah medium yang
paling popular dalam mencipta agenda perpaduan dalam kalangan masyarakat. Jika
isu sebegini tidak mampu diselesaikan maka kita akan terus hidup dalam
pengasingan kelompok yang sukar bersatu-padu. Jangan hilangkan keyakinan masyarakat majmuk negara ini
terhadap festival yang berprestij ini.
Semoga solusi yang memberi manfaat diambil oleh pihak yang terlibat dan
seterusnya dapat membersihkan nama FINAS dan Festival Filem Malaysia daripada
dilabel sebagai rasis.
Ishak Sairozi
Eksekutif Yayasan 1Malaysia.
Comments
Post a Comment