Malam sebelum merdeka ada detik mengira
sepuluh saat terakhir sebelum mercun api dibakar dan laungan 7 kali merdeka
diteriakkan. Tetapi sepuluh hari sebelum merdeka apa yang kita buat? Kita semua
sudah bersedia daripada segi persiapan sambutan kemerdekaan. Rumah-rumah telah
dipasang bendera. Kereta-kereta megah berkibar jalur gemilangnya. Di Dataran
Merdeka, persiapan perbarisan dan perarakan tidak kurang sibuknya.
Masing-masing ingin memastikan sambutan kemerdekaan pada tahun ini akan
berlangsung dengan jayanya.
Tetapi, adakah perkara ini sama seperti apa
yang berlaku pada ketika pengisytiharan kemerdekaan dilaungkan pada tanggal 31
Ogos 1957? Adakah persiapannya sama seperti kita pada hari ini? Mengimbau
kembali 10 hari sebelum merdeka maka kisah ini ditulis dan dirakamkan untuk
memberi pengajaran dan tauladan kepada yang membaca coretan ini.
Pada tanggal 20 Ogos 1957, seorang leftenan
telah memahat namanya sebagai seorang perwira bangsa. Leftenan tersebut, tidak
lain tidak bukan ialah Leftenan Hassan yang sedang bertugas menjaga keamanan
Tanah Melayu pada ketika itu. Ketika itu, platun 12 Kompeni D , 5 RAMD telah
ditugaskan untuk membuat pengawasan di kawasan rondaan Kompeni C, 6 RAMD iaitu di Rawang. Platun ini telah membuat risikan
yang teliti tentang pergerakan komunis yang sedang merangka suatu serangan
hendap terhadap majlis pengisytiharan kemerdekaan Tanah Melayu.
Sebaik sahaja maklumat tersebut diperolehi,
Leftenan Hassan terus meminta kebenaran untuk melakukan risikan bagi
menggagalkan usaha komunis ini. Leftenan Hassan bersama dengan anggotanya telah
ke Ladang Getah Waterfall untuk meninjau pergerakan bintang tiga ini dan
ternyata sememangnya wujud pergerakan komunis di kawasan berkenaan. Setelah
membuat segala persediaan, Leftenan Hassan bersama semua anggotanya telah
bersedia untuk membuat serang hendap melalui kawasan berpaya pada tarikh 21
Ogos 1957, 10 hari sebelum merdeka.
Tinjauan awal membawa kepada penampakan
seorang komunis wanita menuju ke kawasan serang hendap. Leftenan Hassan
melarang tembakan dilepaskan terhadap wanita tersebut atas alasan mungkin akan
menyedarkan komunis lain yang berada disekitar. Beberapa ketika selepas itu
muncul pula seorang lagi anggota komunis lelaki bergerak ke kawasan paya untuk
membasuh muka. Jumlah yang sedikit ini menggusarkan Leftenan Hassan kerana pada
hematnya terdapat ramai komunis. Lantas, Leftenan Hassan mengambil keputusan
mengekori kedua-dua pengganas komunis tersebut.
Sejurus selepas itu, pengganas komunis
tersebut telah bertemu seorang lagi pengganas komunis yang membawa bek, pek,
dan senjata yang ditinggalkan di pangkal pokok di lereng bukit. Leftenan Hassan
lantas mengarahkan beberapa orang anggota untuk mengawasi barang yang ditinggalkan dan yang lain bersama
dengannya terus mengekori komunis tersebut.
Daripada jauh, Leftenan Hassan melihat
sekumpulan penoreh getah (berpakaian seperti penoreh getah), menuju ke komunis
tersebut. Menyedari bahawa bahaya yang bakal menimpa penoreh getah itu,
Leftenan Hassan telah melepaskan tembakan kepada salah seorang komunis
tersebut. Dua orang komunis tadi melarikan diri semula ke tempat mereka
meninggalkan barang di lereng bukit. Kumpulan penoreh getah tersebut juga
melarikan diri.
Melihat kumpulan penoreh getah tersebut
melarikan diri Leftenan Hassan sedar rupanya kumpulan penoreh getah itu
bukanlah penoreh getah tetapi pemimpin komunis dari seluruh Tanah Melayu.
Pemimpin Komunis ini datang untuk satu mesyuarat berkenaan satu cubaan
mensabotaj pengisytiharan kemerdekaan Tanah Melayu.
Siasatan yang dilakukan terhadap barang
yang ditinggalkan telah menemukan Leftenan Hassan dengan bekalan makanan,
barang kemas, duit dan dokumen bertulis
yang mengandungi Rancangan Komunis untuk menggagalkan majlis pengisytiharan
kemerdekaan. Penemuan barangan ini telah membawa kepada tertangkapnya 35 orang
pengganas komunis yang cuba membuat onar 10 hari sebelum kemerdekaan
diisytiharkan. Ini adalah kisah sejarah yang bukan sekadar kita baca untuk
mengisi masa lapang. Ini adalah kisah untuk kita bermuhasabah diri.
Sepuluh hari sebelum merdeka, pada tahun
ini, adakah kita mampu menjamin bahawa tiada anasir luar yang akan mensabotaj
sambutan kemerdekaan kita? Adakah kita yakin bahawa mereka yang berbaju biasa,
berwarna kuning mahupun merah adalah orang Malaysia yang tidak akan membawa
kacau bilau ke dalam sambutan kita? Sejarah telah mengajar kita untuk lebih
berhati-hati dan sayangkan ibu pertiwi. Pada tahun ini, DAESH dan militan telah
pun tiba di tanah air merdeka ini. Ditambah pula dengan mereka yang secara
sengaja gemar membuat onar. Siapa yang boleh jamin kemerdekaan kita pada tahun
ini, kemeriahan dan sambutannya megah dan ceria seperti sebelumnya.
Mengambil iktibar dan kecekapan Leftenan
Hasan, harapan kini dibahu pihak berkuasa tempatan dalam memastikan sambutan
kemerdekaan pada tahun ini akan berjalan semeriah dan sepatriotik sejak tahun
1957 hinggalah sekarang. Harapan juga kepada semua rakyat Malaysia agar
mempunyai kecintaan yang tinggi terhadap kemerdekaan negara dan tidak melakukan
perkara yang boleh menjadi sejarah hitam dalam sambutan sejarah kemerdekaan
negara. 10 hari sebelum merdeka, semoga semangat patriotik ada dalam semangat
setiap lapisan rakyat Malaysia. Sehati sejiwa.
Ishak Sairozi
Eksekutif Yayasan 1Malaysia
Comments
Post a Comment