Kita sering mengharapkan bahawa
kita sentiasa ada faktor menarik yang boleh membawa kita kearah perpaduan
nasional yang lebih utuh. Kita bermimpi agar ada satu perkara yang boleh buat
kita berkongsi rasa, bersama-sama percaya bahawa adanya alasan untuk kita lebih
bersatu padu. Harapan itu, adalah untuk melihat sambutan perayaan kita disuntik
dengan semangat kepelbagaian. Syawal yang kini menjelang penghujungnya secara
jelas memperlihatkan bahawa perayaan kita kini tidak diserikan dengan
perpaduan.
Situasi ini sangat berbeza jika
dibandingkan dengan sambutan
perayaan pada ketika dahulu. Daripada
aspek sambutan sama ada di pasar-pasar penyediaan juadah perayaan, perang iklan
televisyen, dan sambutan perayaan itu sendiri , dahulu sambutan perayaan
disuntik dengan elemen perpaduan. Beli ayam untuk dibuat rendang juga sudah
nampak multi etniknya. Tidak kurang juga meriahnya iklan perayaan dahulu kala
yang menampakkan majmuknya masyarakat Malaysia.
Pada perayaan kali ini, raya
seakan sepi, seakan disambut sendiri-sendiri. Raya ialah medan untuk masyarakat
Melayu mempromosikan budaya kepada rakan berbeza agama dan budaya. Raya ialah
tempat dimana kita duduk pelbagai bangsa menikmati juadah bersama. Raya
mengeratkan hubungan persaudaraan rakyat Malaysia yang berbilang kaum. Perayaan
ini suram dengan kisah raya bersama tiga bangsa, suram dengan cerita perpaduan
dalam perayaan. Adakah kita sudah tidak kisah akan semangat raya bersama, atau
raya bersama hanya kerana kita berkongsi perayaan yang rapat tarikhnya sahaja?
Di zaman peranti mudah alih kini
bagai cendawan yang tumbuh kita seharusnya dapat melihat lebih banyak gambar
perayaan yang pelbagai bangsa, malangnya perayaan kali ini suram tanpa kisah 3
bangsa. Adakah ini petanda bahawa semangat 1 Malaysia kini sudah semakin
kritikal dan tidak lagi didendangkan dalam perayaan kita ?
Sebenarnya kita sudah terlalu
sibuk dengan pelbagai isu yang terlalu banyak. Sebelum syawal lagi, kita sudah
mendapat berita kurang enak yang melibatkan perpaduan. Pembatalan program
berbuka puasa anjuran gereja yang dibatalkan pada saat akhir telah membuat kita
seakan takut untuk berprogram bersama kaum lain. Keterbukaan kita, sedikit demi
sedikit sedang dikoyakkan. Kita semakin tidak berani untuk hidup bersama kerana
takut dikecam oleh mereka yang gemar menggunakan alasan agama.
Selain itu, kita juga sibuk
dengan pelbagai isu yang menjejaskan semangat raya kita. Kebanyakan berita yang
menjadi polemik pada masa kini hanyalah kebencian demi kebencian yang hanya
membawa kepada kehancuran. Hatta daripada isu fitnah terhadap seorang ustazah
daripada ibu bapa yang anaknya konon ditampar sehingga koma, hinggalah ke isu
kehadiran artis pop Selena Gomez yang dikatakan mencemarkan negara Malaysia
yang berpegang teguh pada prinsip Rukunegara ‘Kepercayaan Kepada Tuhan’.
Kehadiran seorang artis juga dimanipulasi dengan bersungguh-sungguh seolah-olah
ia sangat penting dalam kehidupan masyarakat Malaysia.
Dalam semangat syawal ini juga,
kita tidak sibukkan diri kita dengan rumah terbuka, bermaaf-maafan sesama kita,
mengunjungi sahabat lama, beraya bersama kaum India dan Cina. Sebaliknya, para
elitis lebih gemar berfokus kepada isu yang remeh. Misalnya isu aplikasi
Pokemon Go yang sedang dibahaskan halal haramnya dalam Malaysia. Kita juga
sedang berhadapan dengan isu kleptokrasi yang membangkitkan lagi beberapa isu
lain yang membabitkan kebencian sesama kita. Maka hilanglah nikmat perayaan
yang seharusnya diisi dengan gelak ketawa dan senyuman mesra.
Pada perayaan hari ini, berbaki
kurang 10 hari, ayuhlah kita manfaatkan untuk mencari kembali semangat
perpaduan yang hilang dalam komuniti. Sebesar mana pun isu yang sedang kita
hadapi, seharusnya kita harus sama-sama menyedari bahawa dalam semangat syawal
ini, kita perlu sentiasa hidup dalam keadaan harmoni. Sebagai rakyat yang penuh
semangat jati diri dan ingin hidup dalam keadaan harmoni, kita bertanggungjawab
mempertahankan integrasi yang kita miliki. Perpaduan adalah semangat yang
sentiasa perlu ada dalam diri kita. Semoga perayaan yang seterusnya akan
menjadikan kita lebih berintegrasi daripada sebelum ini.
Ishak Sairozi
Eksekutif Yayasan 1Malaysia.
Comments
Post a Comment