Ramadan itu, pada awalnya ialah rahmat,
ditengahnya ialah maghfirah yakni keberkatan dan penghujungnya pembebasan
daripada api neraka.
Kita telah melepasi sepuluh hari yang pertama
iaitu 10 hari berserta rahmat. Rahmat yang dijanjikan ini merangkumi ruang
lingkup rahmat kepada diri sendiri, keluarga, masyarakat, negara dan dunia. Di
Malaysia, rahmat ini mungkin diperoleh kepada pertubuhan-pertubuhan kebajikan
yang mula disuntik dana daripada dermawan-dermawan yang ingin bersedekah di
bulan Ramadan. Rahmat juga dilimpahkan kepada peniaga-peniaga bazar Ramadan
yang mencari rezeki di bulan yang mulia ini. Tidak ketinggalan juga rahmat yang
hadir ke dua kawasan yang sedang dalam pilihan raya kecil di Sungai Besar dan
Kuala Kangsar apabila hadirnya menteri dan ahli politik hadir membawa pelbagai
insentif untuk menyemarakkan lagi hari pengundian. Rahmat juga kepada keluarga
nelayan yang akhirnya dibebaskan dari tahanan Indonesia. Ini rahmat.
Namun begitu, dalam kita meniti bulan penuh
kemuliaan ini, kita turut dicemari oleh beberapa peristiwa yang menghalang kita
daripada terus dirahmati. Awal puasa kita dikejutkan dengan seorang syaitan
bertopeng manusia bernama Richard Huckle yang telah mencabul ratusan
kanak-kanak yang tidak berdosa. Penangkapan ini seterusnya telah menyingkap
ramai lagi mangsa pedofil di Malaysia yang dibongkarkan oleh Syed Azmi dan
Wardina Saffiyah, dua aktivis yang berpengaruh. Bulan di mana kita seharusnya
mengawal nafsu telah menjadi bulan membongkarkan beratus malah mungkin beribu
manusia yang tidak mampu mengawal nafsu serakahnya dan menjadikan kanak-kanak
sebagai mangsanya. Sakitnya Malaysia pada hari ini!
Kedatangan rahmat pada bulan Ramadan, menjadikan
kita berharap agar tiada kejahatan yang akan terus berlaku pada bulan mulia
ini. Namun harapan Ramadan hanyalah sekadar sebuah dendangan. Ramadan masih
menemukan Malaysia dengan masalah rasuah yang seakan-akan tidak pernah akan
selesai. Hingga ke hari ini, kes rasuah masih dilaporkan sebagai berita utama
dalam tabloid-tabloid harian. Isu penyelewengan tong gas petroleum cecair(LPG)
dibongkarkan saban hari oleh media massa. Tambahan pula dengan isu rasuah yang
membabitkan bekas ahli politik parti pembangkang, dan rasuah yang melibatkan
isu pencerobohan tanah di Cameron Highland. Sampai bila kita harus bergelumang
dengan masalah integriti yang makin
merunsingkan saban hari?
Kita selalu berharap agar Ramadan akan
membolehkan Muslim mempromosikan agama dan sikap yang baik yang diajarkan Islam
kepada penduduk beragama lain di Malaysia yang majmuk ini. Kesederhanaan,
toleransi dan agama keamanan merupakan imej Islam yang seharusnya perlu
ditonjolkan sepanjang bulan mulia ini. Tetapi di Malaysia, kita lebih cenderung
mengambil pendekatan menghukum terhadap mereka yang tidak menghormati bulan
Ramadan. Masyarakat muslim sendiri gemar menjatuhkan hukum terhadap mereka yang
didapati membuat kesalahan ketika Ramadan.
Persoalannya adakah Islam sebuah agama yang
menghukum? Adakah iman seorang muslim yang berpuasa hanya setebal sebiji pau
mahu pun vadey? Kita seharusnya tidak mengambil inisiatif menghukum sebaliknya
mendidik. Rakyat Malaysia yang berbilang kaum khasnya bukan muslim sudah
dididik dengan toleransi yang cukup untuk menghormati muslim yang berpuasa.
Bukan sekadar tidak makan dan minum di depan saudara Muslim sebaliknya mereka
turut sama berpuasa meraikan muslim. Jadi apa alasan kita untuk menghukum
mereka? Tepuk dada tanya iman.
Rahmat dan keberkatan yang kita perolehi
sepanjang Ramadan ini seharusnya menjadikan kita lebih bersyukur dalam setiap
perkara. Tetapi bersyukurkah kita apabila jumlah makanan yang dibazirkan ketika
bulan puasa melebih 15000 tan metrik sehari banyaknya? Bersyukurkah kita,
apabila sebanyak 3000 tan makanan yang masih elok dan boleh dimakan menjadi
sisa dan buangan merata? Sedangkan puasa dalam bahasa arab disebut sebagai shaum yang bererti menjauhkan diri dari
sesuatu dan menahan diri tetapi kita langsung tidak menghayati bulan ini dengan
makna demikian. Kita lebih teruja membalas dendam mengikut nafsu makan yang
bersifat dunia. Adakah kita masih boleh berkata, ini rahmat sempena puasa. Kata
kita, tidak habis tidak mengapa, setahun sekali cuma. Kita gagal.
Wahai rakyat Malaysia pelbagai bangsa, kita
sedang dalam fasa kedua dalam Ramadan kali ini. Kita sedang dalam fasa
maghfirah yakni keberkatan. Andai ada diantara kita yang telah terlepas rahmat,
ini adalah peluang untuk kita mencari berkat. Jadikan fasa keberkatan ini untuk
kita bermuhasabah diri menilai apa yang berlaku pada Ramadan ini. Pada Ramadan
ini, jadikanlah kita golongan lelaki yang hebat mengawal nafsu berahi.
Kembalikan kemanusiaan warga lelaki agar tidak bernafsu keji terhadap
kanak-kanak mahupun golongan wanita yang sangat dikasihi nabi. Ambil peluang
ini untuk kita didik kembali nafsu yang pernah memakan diri. Carilah berkat
Illahi untuk kita kembali kepada fitrah lelaki yang bersifat menyayangi dan
melindungi.
Pada fasa keberkatan ini juga kita harus sedar
bahawa masalah utama kita ialah untuk memerangi rasuah. Rasuah kian menjadi
barah kerana tamak dan rakusnya kita terhadap kekayaan dunia. Sedarlah bahawa
rasuah akan menghalang kita daripada mendapat berkat. Jadikan Ramadhan ini
sebagai titik noktah untuk rasuah. Daripada sekecil-kecil rasuah seperti
memberi gula-gula kepada adik sebagai bantuan membelikan makanan tengahari
ketika berpuasa hinggalah kepada rasuah yang menggula-gulakan penguasa hingga
tergadai keamanan negara. Bila kita merasa cukup dan percaya bahawa keberkatan
itu adalah pada rezeki yang halal maka berkat akan menjadi milik setiap insan
yang memerangi rasuah.
Fasa maghfirah ini juga seharusnya mengingatkan
kita kepada panduan kita sepanjang zaman. 17 Ramadhan yakni hari diturunkan Al
Quran. Nuzul Quran. Kita seharusnya berbalik menginsafi semula rukun iman ketiga
iaitu beriman kepada kitab (Al Quran).
Adakah al Quran mengajar kita untuk menghukum saudara kita yang beragama
lain? Sedangkan Al Quran dengan jelas memeberitahu dalam surah al Hujurat ayat
13 mafhumnya :-
Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki
dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak,
supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain).
Maka, berkenal-kenallah, dan
sebarkanlah Islam dengan cara bukan menghukum. Peribadi seorang muslim adalah
cerminan Islam, sebuah agama yang membawa keamanan. Kita hidupkan syiar Islam
melalui agama yang baik dan semoga diberi keberkatan kepada semua umat manusia
termasuk saudara kita yang berlainan agama dan bangsa.
Jadilah islam yang mensyukuri
nikmatnya hidup. Syukur dengan apa yang ada. Belajarlah untuk tidak membazir
sepanjang fasa kedua Ramadhan ini. Bersyukur akan mendatangkan keberkatan. Saat
kita membuang terlalu banyak makanan tika berbuka puasa, kita menafikan hak
saudara kita yang berbuka mungkin dengan setangkai kurma sahaja. Bersyukurlah
dan buktikan bahawa Ramadan ialah bulan kita mampu mengawal nafsu makan. Semoga
dalam syukur kita ada berkat kepada kita dan mereka yang lebih memerlukannya.
Akhir kalam, rebutlah peluang fasa
kedua Ramadan ini untuk diri kita. Jika ada kesilapan kita pada awal Ramadan
lalu maka ini peluang untuk kita meninggalkan silap kita. Biarlah Ramadan kali
ini menjadi titik perubahan untuk kita mengawal nafsu diri, menjaga mata, menjaga
hati, menyelesaikan isu integriti, bersifat lebih bertoleransi dan mendidik
diri untuk mensyukuri nikmat yang dikecapi. Fasa kedua Ramadan, fasa rahmat
kita jadikan sempadan, fasa maghfirah kita carilah keberkatan. Semoga amal
ibadah kita akan melahirkan sebuah negara bangsa yang memberi nilai tambah
kepada negara tercinta, negara Malaysia. Salam Fasa Kedua.
Ishak Sairozi
Eksekutif Yayasan 1Malaysia.
Comments
Post a Comment