Rakyat Malaysia yang berbeza
ideologi dilihat mengeluarkan kenyataan yang semakin menghilangkan jati diri
seorang warga Malaysia yang hidup bersandarkan nilai-nilai murni. Ketika
helikopter yang dinaiki oleh warga VIP ini hilang dari radar beberapa hari yang
lepas banyak ulasan-ulasan negatif yang dikeluarkan oleh orang ramai. Antaranya
ialah, “ini hanya gimik politik”, “harap-haraplah PM dalam helikopter tersebut”
dan pelbagai lagi.
Adakah rakyat Malaysia semakin
hilang budi pekerti ketika berbicara. Kita semakin hilang rasa hormat sesama
manusia lantas sesuka hati menyumpah seranah orang yang tidak kita sukai.
Nilai hormat menghormati ini
bukan sahaja dapat kita lihat daripada rakyat kepada golongan VIP, malahan
terdapat juga golongan pemimpin yang bersikap seolah-olah tidak bertamadun dan
tidak berbudi pekerti. Sebagai contoh, sikap seorang menteri yang dengan
lantangnya mengajak seorang mantan Perdana Menteri yang berbakti 22 tahun menerajui
Malaysia untuk bertumbuk jika mahu bertumbuk. Isu yang dibangkitkan hanyalah
penarikan semula polis pengiring untuk mengiring mantan Perdana Menteri. Tetapi
pendekatan yang diambil ialah mahu bergaduh dan menyelesaikannya dengan cara
agresif.
Isu hormat-menghormati kini perlu
kita lihat kembali sebagai sesuatu yang semakin membimbangkan. Hatta daripada
golongan pemimpin hinggalah golongan yang dipimpin, masing-masing perlu
bermuhasabah diri. Kita perlu diterapkan kembali dengan nilai murni yang
membentuk peribadi mulia dan jati diri.
Jangan kerana kita benci mereka
yang berpartikan Barisan Nasional maka kita tidak mendoakan keselamatan mereka
yang hilang dalam helikopter AS350. Fikirkan perasaan anak-anak mereka.
Doakanlah untuk mereka. Kadang-kadang kita kena ada empati, bayangkan yang di
dalam sana diri kita, atau keluarga kita sendiri. Pas dan DAP atau apapun
ideologi bukan tiket untuk membolehkan kita mendoakan orang dalam helikopter
tersebut menteri yang kita benci dan yang kita inginkan mereka mati.
Jauh doa kita hingga ke Aleppo,
sikit doa untuk mereka yang hilang dalam negeri sendiri.
Tuntasnya, rakyat Malaysia perlu
lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan. Gunalah perkataan yang sopan
dan berbudi bahasa tatkala bertutur. Sekiranya tidak mahu mengeruhkan keadaan
elakkan bertutur. Jangan bercakap bahasa kotor. Saling menjaga hati dan
bertolak ansurlah. Sehingga ini, Takziah VIP yang terkorban dalam nahas AS350.
Semoga kalian menjadi iktibar kepada mereka yang masih hidup dan ditempatkan
dalam kalangan orang-orang yang beriman.
Ishak Sairozi
Eksekutif Yayasan 1Malaysia
Comments
Post a Comment