Pembentangan laporan penuh Jawatankuasa Perbelanjaan Negara yang
dibentang pada 6 April 2016 bukanlah pengakhir kepada kisah kontroversi 1MDB.
Sepanjang kisah 1MDB didedahkan, ramai pihak cuba mencalit kontroversi, membuat
cerita versi sendiri tentang syarikat gergasi ini. Tidak kurang juga yang
mengaitkannya dengan kisah politik untuk kepentingan tertentu.
Sepanjang kisah 1MDB ini berlangsung, terdapat dua pihak yang boleh kita
lihat sebagai watak penting dalam kisah ini. Pertama ialah, golongan yang
terlalu bersungguh-sungguh mahukan kebenaran dengan apa cara sekali pun. Banyak
pendekatan diambil seperti menyerang peribadi Perdana Menteri, menyerang ahli
jawatankuasa yang kononnya menyebelahi kerajaan, dan tidak kurang juga mengambil
pendekatan ingin berdebat secara terbuka. Pelbagai lagi langkah diambil untuk
membongkar rahsia dan skandal 1MDB yang sangat sekretif.
Sedangkan dipihak 1MDB, terdapat satu lagi watak penting iaitu watak
yang sering mempertahankan 1MDB dengan menyimpan segala maklumat yang dianggap
sebagai satu rahsia besar yang penting. Segala usaha dibuat bagi melindungi
kebenaran daripada terbongkar. Segala usaha untuk mengetahui status 1MDB
dihalang dan disenyapkan begitu saja. Waima, Bank Negara sendiri tidak mempunyai
akses untuk menyelesaikan kemelut 1MDB ini. Sifat sekretif ini menyukarkan
kebenaran untuk dikongsi.
PAC merupakan satu-satunya badan yang berkuasa untuk membuat siasatan
terus dan telus terhadap 1MBD. Justeru, harapan rakyat ingin mengetahui status
sebenar 1MDB melalui laporan penuh PAC yang dibentangkan di parlimen lalu
nampaknya tidak kesampaian apabila PAC sendiri dilihat tidak dibekalkan dengan
beberapa maklumat yang tepat tentang akaun dan perbelanjaan 1MDB. Kesannya, kes
ini kini dibuka semula dan diketuai oleh Ketua Polis Negara… (satu tindakan
yang perlu dipuji).
Pada akhir kisah 1MDB ini kita sebenarnya memerlukan mereka yang
benar-benar telus dan berani berkata perkara yang sebenar. Sudah tiba masanya
mereka yang diberikan tanggungjawab untuk mengetuai organisasi 1MDB ini tampil
memberikan semua maklumat yang diperlukan. Tidak usah takut dibayangi bayangan
sendiri. Perkara yang terpuji adalah apabila seseorang itu, berani
bertanggungjawab atas kesilapan yang telah dilakukan. Jangan amalkan sikap
lontar batu sembunyi tangan dan letakkan kambing hitam sebagai penyelamat
kesalahan kita.
Nilai lain yang perlu ada pada mereka yang terlibat dengan kisah 1MDB
ini ialah ketelusan dan kejujuran. Pelbagai halangan dan kontroversi yang
dihadapi oleh PAC, SPRM, dan PDRM dalam menjalankan siasatan seharusnya tidak
perlu berlaku sepanjang siasatan mengenai 1MDB ini. Percubaan untuk
mengkaburkan penyiasatan 1MDB hanya akan menampakkan bahawa kontroversi yang
disebut benar-benar wujud. Kita tidak perlu takut jika benar kita bersalah.
Justeru, telus dan jujurlah sepanjang siasatan ini. Ini kerana, pada akhir
cerita, kebenaran akan terlihat juga. Justeru, rahsia tidak perlu disorok
terlalu lama kerana lambat laun segalanya akan diceritakan juga.
Pada kesempatan dan peluang ini, PDRM diharapkan dapat meneruskan
siasatan 1MDB kali ini dengan kerjasama yang benar-benar hebat daripada semua
pihak yang terlibat. Setiap orang harus percaya bahawa kebaikan dan nilai-nilai
murni masih wujud dalam setiap perkara hatta skandal 1MDB sekalipun. Diharapkan
siasatan yang dijalankan akan mencerminkan Malaysia dan semua pihak yang
terlibat sebagai mereka yang berpegang teguh pada prinsip akauntabiliti,
integriti dan transparensi yakni ketelusan. Harapan 28 juta penduduk Malaysia
adalah bergantung kepada pucuk pimpinan dan mereka yang berkuasa dengan nilai-nilai
murni yang disebutkan tadi. Sementara menanti kisah 1MDB menemui penghujung
yang memanfaatkan semua pihak, hingga kini, kita terpaksa akur, bahasa
kontroversi 1MDB masih belum sempurna.
Ishak Sairozi,
Comments
Post a Comment