Kehadiran seorang tokoh agama dunia yang
sedikit kontroversi akhirnya menampakkan beberapa sifat sebenar yang kita
Malaysia (sebuah negara Kepelbagaian Agama ) dalam meraikan perbezaan agama.
Suatu persoalan yang menarik untuk kita bincangkan dengan sedikit sengketa
agama yang berlaku sekarang ialah, benarkah kita meraikan kepelbagaian agama di
Malaysia?
Isu gelaran *syaitan* yang diberikan oleh
Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang Dr Ramasamy kepada Dr Zakir Naik yang
kemudiannya dibalas dengan sebuah molotov yang dilemparkan kepada pusat khidmat
beliau ialah contoh pertelingkahan agama yang minor. Ini ditambah dengan
desakan daripada HINDRAF yang menghalang ceramah Dr Zakir Naik atas alasan akan
mewujudkan sengketa perkauman khasnya daripada masyarakat beragama Hindu.
Muncul persatuan-persatuan Islam yang bangkit menentang dengan menyatakan
sokongan kepada Dr Zakir Naik untuk memastikan programnya dapat dijalankan
walaupun pada mulanya dilarang oleh pihak polis nasional .
Ini bukanlah perkara pertama yang terjadi
dalam masyarakat Malaysia yang mempunyai pelbagai agama. Sebelum ini, mereka
yang beragama Islam sendiri pernah menyatakan perasaan marah mereka apabila
satu forum anjuran Persatuan Kristian diadakan di UiTM Lendu Melaka. Program
ini ditentang oleh masyarakat Islam atas alasan penganut agama Kristian mempunyai agenda untuk memurtadkan masyarakat
Islam di Malaysia.
Kisah agama lain yang pernah heboh dan
menjadi isu ialah berkenaan binaan bumbung rumah yang mempunyai corak
seakan-akan lambing salib. Isu ini dibangkitkan oleh rakyat sekitar kawasan
perumahan baru tersebut dengan alasan ia mendatangkan ketidakselesaan kepada
penduduk yang majoritinya beragama Islam. Isu ini pernah diulas oleh Menteri
Belia dan Sukan dengan menyifatkan rakyat Malaysia terlalu banyak masa untuk
isu remeh.
Jika ditambah dengan isu penukaran agama
yang berlaku di Malaysia, khasnya yang melibatkan pertelingkahan kuasa Mahkamah
Sivil dan Mahkamah Syariah pula, kita memang jelas disajikan dengan hak
penukaran agama anak yang harus mengikut ego ibu bapa mana yang lebih tinggi
dalam memperjuangkan kesucian agama mereka. Anak-anak perlu mengikut agama yang
ditentukan oleh ibu bapa mereka sepertimana dinyatakan dalam perlembagaan.
Seharusnya, sebagai seorang rakyat
Malaysia, kita tidak patut mencari titik perbezaan yang mencetuskan pergaduhan.
Kita adalah negara yang unik dengan kepelbagaian agama yang harus kita raikan.
Kita harus sedar Malaysia diumpamakan sebagai pelangi, kepelbagaianlah yang
menjadikan kita cantik. Kita bukan campur segalanya menjadi satu warna,
sebaliknya kita tujuh warna yang mencantikkan suasana. Kita harus meraikan
kepelbagaian agama yang menjadikan kita lebih memahami satu sama lain.
Berdasarkan beberapa kes ini, adakah kita
sebenarnya negara yang meraikan kepelbagaian agama antara pelbagai kaum sesama
kita? Kita tiada hak untuk menyalahkan agama itu sendiri, setiap orang diberi
kebebasan beragama menurut perlembagaan negara. Adakah agama yang kita anuti
menjadikan kita lebih suci daripada orang lain? Agama, yakni apa saja agama
mengajar kita untuk menjadi lebih baik dan menghormati agama lain. Jangan
terlalu taksub dengan agama sendiri hingga kita melebih-lebih mencaci dan
menghina agama lain. Manusia berasa merekalah yang menjaga agama walhal
agamalah yang sebenar-benarnya menjaga manusia. Saya akhiri artikel ini dengan
Surah Al Kafirun ayat 1 hingga 6.
i)
Katakanlah (wahai Muhammad): "Hai
orang-orang yang tidak beriman!
ii)
"Aku tidak akan menyembah apa
yang kamu sembah.
iii)
"Dan kamu tidak mahu menyembah
(Allah) yang aku sembah.
iv)
"Dan aku tidak akan beribadat
secara kamu beribadat.
v)
"Dan kamu pula tidak mahu
beribadat secara aku beribadat.
vi)
"Bagi kamu agama kamu, dan bagiku
agamaku".
Ishak Sairozi.
Eksekutif Yayasan 1Malaysia.
Comments
Post a Comment