Salam muafakat.
Jika anda berasal dari Johor
Darul Takzim, anda pasti sinonim dengan istilah "Salam Muafakat". Muafakat
bererti seia sekata. Ia juga boleh ditakrifkan sebagai persetujuan bersama. Apa
istimewanya salam muafakat di negeri Johor?
Negeri Johor bukanlah negeri yang
bandarayanya dipilih sebagai bandaraya perpaduan. Negeri Johor, sama seperti
negeri-negeri yang lain, hidup dalam kepelbagaian bangsa dan budaya. Hidup
dengan menghayati salam muafakat sesama mereka. Penulisan ini bukanlah hendak
menceritakan tentang gahnya negeri di selatan tanahair ini sebaliknya ingin
memperlihatkan satu contoh ikon perpaduan yang disegani di negeri Darul Takzim
ini.
Ikon perpaduan yang dimaksudkan
tidak lain tidak bukan iaitu Sultan Johor sendiri. Brigedier Jeneral Sultan
Ibrahim Ismail (dilahirkan pada 22 November
1958 (57 tahun)) merupakan Sultan Johor ke-25 dan terkini serta merupakan
sultan Johor era moden ke-5 dari Wangsa Temenggong. Sikap keterbukaan baginda
dalam meraikan kepelbagaian perpaduan dapat dilihat bukan sahaja daripada
kenyataan media dan titah baginda, malahan baginda turut sama turun meraikan
perayaan daripada pelbagai kaum.
Memetik titah baginda ketika upacara
konvokesyen UTHM pada tahun lepas kita dapat melihat betapa baginda mengambil
berat tentang perpaduan dalam masyarakat majmuk di negara ini.
“Semangat
bersatu-padu yang diamalkan oleh lapisan masyarakat tanpa mengira perbezaan
kaum, keturunan atau agama membantu kesejahteraan hidup dan kemakmuran negara
yang kita kecapi hari ini."
Baginda
bukan sekadar seseorang yang hanya pandai bercakap tanpa bertindak. Selaku
Sultan yang disenangi oleh rakyat Johor, beliau telah mencemar duli untuk
menghadiri beberapa perayaan kaum lain. Thaipusam pada tahun ini telah
mendatangkan sejarah tersendiri kepada penganut Hindu yang hadir di Kuil Hindu
Samajam Sri Murugan, Jalan Layang Layang, Rengam apabila Tuanku Sultan mencemar
duli untuk sama-sama meraikan perayaan kaum Hindu ini. Pada perayaan Tahun baru
China tahun ini pula, Keluarga Kerabat diraja Johor sekali lagi telah mencemar
duli untuk sama-sama meraikan perayaan ini. Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan
Iskandar dan Keluarga Diraja Johor berkenan mengunjungi rumah Pengerusi
Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Negeri, Datuk Tee Siew
Kiong di Taman Setia Tropika di sini, sempena Tahun Baru Cina, hari ini. Ketika
ditemubual oleh wartawan Datuk Tee Siew Kiong memberitahu ketika di Istana
Bukit Serene, baginda ada memaklumkan ingin ke rumah saya pada Tahun Baru Cina
dan baginda juga mahu hadir pada program Chingay dan Chap Goh Mei.
Ternyata
Tuanku Sultan Ibrahim berpegang kepada titah yang dikeluarkan oleh baginda
sendiri. Tiada tempat untuk untuk mereka yang mengamalkan perkauman di Johor.
Ini adalah salah satu contoh terbaik yang perlu diteladani oleh segenap lapisan
masyarakat di Malaysia. Golongan marhaen mahupun golongan pemimpin, harus
memperjuangkan perpaduan dan meraikan kepelbagaian. Sikap ini merupakan
kebaikan yang perlu dijadikan teladan. Sultan Johor telah menunjukkan satu
teladan yang baik untuk ikutan semua. Kini masa untuk kita pula membuktikan
bahawa kita juga meraikan perpaduan seperti mana ikon perpaduan negara. Raja
adil raja disembah, Rakyat muafakat negara bertuah.
Salam
Muafakat.
Ishak Sairozi
Eksekutif Yayasan 1Malaysia
Comments
Post a Comment