Sekumpulan mahasiswa daripada
Universiti Malaya mengunjungi Yayasan Satu Malaysia pada 12 Januari 2016.
Mereka yang bergerak atas nama Persatuan Hindu Universiti Malaysia berkongsi
tentang satu perjuangan mereka sejak 2011 iaitu sebuah perjuangan menyelamatkan
generasi kaum India di sebuah Flat Taman Permata, Dengkil. Kesusahan dan
keperitan hidup yang dialami oleh kaum India ini telah menjurus kepada masalah
perlakuan sosial yang mengancam generasi muda di kawasan ini. Sejak 2011 mereka
berada di sana, mereka telah cuba membantu melakukan beberapa inisiatif
antaranya mewujudkan perpustakaan kecil, aktiviti sukan dan seni, dan pelbagai
inisiatif lain untuk membantu mereka. Tujuan sebenar mereka ialah untuk
menyelamatkan generasi muda ini daripada terjebak dengan gejala sosial yang
dialami oleh generasi yang lebih tua daripada mereka.
Mendengar keluhan demi keluhan
yang diluahkan mendorong Yayasan 1 Malaysia untuk melihat permasalahan ini
dengan lebih mendalam. Masalah yang dialami oleh penduduk di sini bukanlah
semata-mata masalah etnik sahaja. Ia lebih melibatkan masalah kesengsaraan
penduduk dan masalah sosial. Berdasarkan kes-kes lepas, sememangnya banyak
aduan yang telah cuba disampaikan kepada pihak kerajaan khasnya dari organisasi
yang mewakili Kaum India yang memperjuangkan keselesaan mereka sebagai penghuni
kawasan ini. Kawasan tersebut yang majoritinya terdiri daripada kaum India
sememangnya merupakan sebuah kawasan yang perlu diberi perhatian tambahan lagi
ia berdekatan dengan Putrajaya, sebuah kawasan tumpuan kerajaan.
Antara masalah yang dihadapi
disini ialah sistem saliran paip yang tidak bersih dan boleh mengundang
pelbagai masalah kesihatan. Keduanya, langsung tiada Klinik 1Malaysia dan
Kilinik Kesihatan Kerajaan yang menawarkan kos perubatan yang murah untuk
penduduk sekitar ini. Disamping itu, kesempitan hidup yang dialami memperlihatkan
bahawa golongan ini perlu dibantu dari segi ekonomi khasnya untuk membantu
mereka hidup dengan lebih selesa.
Isu ini dibangkitkan bukanlah
semata-mata untuk memenuhi kepentingan satu pihak sahaja. Ia lebih kepada
terpanggil untuk menjalankan tanggungjawab sosial. Terdapat banyak lagi kawasan
yang memerlukan bantuan dan perhatian daripada pelbagai pihak sama ada kerajaan
mahupun badan-badan persatuan, tetapi fokus pada kawasan ini adalah kerana terasa
bahawa tanggungjawab ini adalah tanggungjawab bersama.
Tidakkah kita terasa tersindir
sebagai golongan yang mempunyai kuasa dan lebih berkemampuan untuk membantu
membangunkan sesuatu kawasan bertindak lebih lemah daripada golongan mahasiswa
yang telah berusaha membantu kawasan ini sejak beberapa tahun kebelakangan.
Sememangnya tugas membantu masyarakat adalah tugas bersama tetapi seharusnya,
pihak yang bertanggungjawab haruslah membantu lebih efisien berbanding
mahasiswa yang berfokus kepada isu pendidikan sebagai beban utama. Pujian harus
diberikan kepada Persatuan Mahasiswa Hindu Universiti Malaysia yang lebih jauh
ke hadapan daripada beberapa institusi lain. Kini tiba masa untuk kita berganding
bahu, bersatu atas kehendak saling ingin membantu untuk menyemarakkan lagi rasa
kebertangunggjawaban dalam masyarakat yang berlainan bangsa dan suku. Semoga
ada sinar terang untuk permata yang suram di Flat Taman Permata, Dengkil dan
kawasan-kawasan yang senasib dengannya.
Ishak Sairozi
Eksekuti Yayasan 1Malaysia.
Comments
Post a Comment