Pantai Kasih tidak relevan.


Seakan tidak percaya apabila membaca novel Pantai Kasih yang dipilih sebagai Komponen Sastera untuk pelajar Tingkatan Empat. Novel yang mengisahkan tentang kehidupan golongan profesional iaitu Doktor dan petugas-petugas hospital ini membawa tema ketabahan seorang wanita muda menghadapi kepayahan untuk menjadi seorang Doktor. Di sebalik tema tersebut, beberapa persoalan turut dibawa ialah tentang kehidupan golongan doktor, cinta, dan tidak ketinggalan juga tentang seks.
Pada usia 16 tahun, pendedahan terhadap unsur cerita sebegini sememangnya sesuatu yang bertentangan dengan norma ketimuran khasnya Malaysia. Sebaiknya, pada usia 16 tahun mereka disajikan dengan kisah-kisah yang mampu menjadi inspirasi untuk menyiapkan mereka menghadapi zaman remaja yang serba mencabar. Pada usia sebegini juga mereka seharusnya dibekalkan dengan input-input positif kerana ini adalah waktu mereka menimba ilmu untuk bekalan masa hadapan. Cinta, seks dan gaya hidup bukanlah keperluan yang perlu disogokkan dalam sukatan pelajaran.
Tanpa menafikan bahawa pendidikan seks adalah perlu pada tahap biologi yang sedang membesar tetapi adakah ia perlu dijadikan satu sukatan wajib dalam peperiksaan. Banyak lagi isu-isu yang boleh diketengahkan kenapa mesti membawa permasalahan sosial sebagai sesuatu yang ingin dikomersilkan. Jangan lemparkan tuduhan bahawa rakyat Malaysia tidak memahami sastera. Terdapat beribu, malah berjuta sastera yang lebih berkualiti daripada Pantai Kasih di Malaysia. Seks dan cinta bukanlah estetika indah dalam sastera. Gaya bahasa, pemilihan diksi, dan sintaksis yang murni adalah nilai sebenar dalam karya sastera. Sastera yang baik ialah sastera yang ada estetika, ada pengalaman seni, mencerminkan pengalaman penulis dan berbentuk karya seni. Sastera itu indah. Cinta dan seks bukanlah keindahan sastera yang perlu ada dalam sesuatu penulisan.
Satu perkara yang mendatangkan ketidakpuasan hati ialah kenapa ketika pemilihan diksi berasaskan sejarah dalam Novel Interlok dipandang serius dan dikecam hebat oleh masyarakat. Walaupun penulis mencerminkan pengalaman berdasarkan fakta, ia tidak boleh diterima kerana terlalu pahit untuk ditelan sedangkan ia penuh pengajaran. Tetapi untuk novel yang unsur cinta dan seks diajar,ia hanya didiamkan oleh beberapa pihak dan menganggap ia tidak mengapa. Mana keadilan berkarya dan kebebasan mencerminkan sejarah sebenar negara Malaysia.  
Kita sudah terlalu tidak kisah tentang perkara yang tidak mendatangkan manfaat terhadap kita. Pada kita, cinta dan seks tidak akan merosakkan negara. Pantai Kasih hanya karya yang dibaca untuk lulus periksa. Ia tidak mengusik sentimen perkauman kita jadi ia tidak mengapa. Maka bersedialah untuk melihat anak-anak kita mempraktikkan bagaimana anak-anak lelaki kita melucutkan sel daripada "genetik" istimewa mereka ke dalam tubuh anak-anak gadis kita tanpa perencanaan dan kerelaan anak gadis kita.(dipetik dan diubahsuai daripada novel Pantai Kasih)

Malaysia diHujung Usia
Ishak Sairozi
Eksekutif Yayasan 1Malaysia


Comments