Harapan untuk melihat semangat 1
Malaysia pada tahun ini menjadi lebih utuh dan dikuatkan seakan berhadapan
dengan satu tentangan yang agak sukar. Ketika kita masih lagi di bulan pertama
dalam kalen dar 2016, isu perkauman telah pun mengambil tempat di Sekolah Jenis
Kebangsaan (Cina) Pai Chee Mersing Johor. Menurut laporan yang dikeluarkan sebelum
ini kebanyakan pihak melihat kes ini sebagai masalah sekolah semata-mata bukan
berdasarkan perkauman. Malah pihak berkaitan juga menggesa agar kisah ini tidak
membangkitkan sentimen perkauman.
Walau bagaimanapun, berdasarkan
laopran polis yang dibuat oleh guru sekolah berkenaan menunjukkan jelas
seolah-olah dia tidak berpuas hati apabila diserang oleh bapa murid sekolah berkenaan
dan lebih memeritkan apabila dia berasa tidak dilindungi oleh sekolah berkenaan. Kes ini
ditambah lagi dengan dakwaan mengatakan guru besar sekolah tersebut pernah
mengadukan guru-guru Melayu ini kepada pejabat pelajaran daerah dengan
menyatakan mereka tidak memerlukan guru Melayu di sekolah tersebut.
Kes ini boleh membawa kepada dua
perspektif. Pertamanya ialah, kewujudan sentimen perkauman di kawasan sekolah
jenis kebangsaan. Kita sedar untuk sekolah seperti ini semangat perkauman
seharusnya tidak menjadi isu utama. Profesionalisme seorang guru, khususnya
berbangsa Malaysia, mereka sudah sebati bahawa isu perkauman adalah sesuatu
yang harus dihapuskan dalam sektor pendidikan. Guru-guru yang dipilih
seharusnya telah menjalani latihan yang cukup untuk mengelakkan mereka daripada
terlibat dengan isu perkauman.
Keduanya, isu profesionalisme
guru dan ibu bapa. Tindakan menyerang golongan pendidik di sekolah oleh mereka
yang bergelar ibu bapa sememangnya sudah menjadi kebiasaan sekarang. Pada zaman
ini, golongan pendidik tidak lagi dihormati seperti zaman lepas. Sifat
merendah-rendahkan kemampuan dan mencabar tindakan guru telah menjadi sebati
dengan masyarakat zaman kini. Perkara yang boleh kita kaitkan dengan peristiwa
ini ialah lebih menjurus kepada tidak hormatnya masyarakat kepada golongan
pendidik. Hanya kerana ia terjadi di sekolah jenis kebangsaan maka ia dikaitkan
dengan sentimen perkauman.
Bagi menangani isu ini,
penyiasatan yang adil harus diambil sebagai prasyarat yang utama. Penyiasatan yang
menyebelahi kepentingan sesuatu kaum sama sekali perlu dielakkan. Ini kerana
isu pendidikan seharusnya tidak dikaitkan dengan perkauman. Justeru,
penyiasatan yang hendak dijalankan perlu bersifat telus bagi melahirkan rasa
ketidakpuasan hati kepada mana-mana pihak.
Isu seperti SJK (C) Pai Chee ini
bukanlah sesuatu yang asing kerana memang terdapat banyak aduan tentang kes-kes
perkauman di sekolah yang pernah berlaku. Lantaran itu, Yayasan 1Malaysia
mencadangkan agar satu bancian dapat dilakukan terhadap sikap guru sesuatu kaum
terhadap kaum yang lain di sekolah. Kajian menyeluruh ini dapat menilai sejauh
mana isu perpaduan dalam kalangan guru di seluruh Malaysia terhadap kaum lain.
Melalui bancian ini juga kita dapat mewujudkan satu kayu ukur tentang penerimaan
kaum lain dalam sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan yang wujud di
Malaysia.
Seharusnya setiap lapisan
masyarakat haruslah berpegang pada konsep perpaduan dalam menyelesaikan sesuatu
perkara khasnya yang melibatkan pelbagai kaum. Kita bina jambatan perpaduan
daripada sekolah jenis kebangsaan tetapi kita gagal menjaganya dengan baik
kerana tiada kerjasama yang utuh. Kes SJK C Pai Chee ini seharusnya dijadikan
iktibar oleh setiap institusi pendidikan yang lain dalam menyelesaikan hal yang
melibatkan perpaduan. Ambillah pendekatan yang sewajarnya seperti menarik
rambut dalam tepung, rambut tidak putus dan tepung tidak berselerak. Semoga
perpaduan tidak akan terhapus, dan 1Malaysia akan terus boleh disorak.
Ishak Sairozi
Eksekutif Yayasan 1Malaysia.
Comments
Post a Comment