Hari ini perlu lebih baik
daripada semalam. Jika semalam kita bermuram durja maka hari ini kita perlu
ceria. Jika hari ini kita ceria, maka esok perlu lebih ceria. Perubahan perlu
dalam kehidupan. Berbicara mengenai perubahan, kita sebagai manusia mempunyai
kuasa untuk mengubah sesuatu usaha. Ada perkara yang sememangnya tidak boleh
diubah. Tetapi ada perkara yang kita perlu ubah sesuai dengan keadaan semasa.
Pengumuman Yang Amat Berhormat Perdana
Menteri tentang semakan semula bajet 2016 dilihat sebagai suatu perubahan yang
perlu. Semakan semula ini bagi menyelaraskan semula perbelanjaan negara yang
sememangnya akan terkesan dengan kejatuhan harga minyak dunia. Beberapa tahun
kebelakangan ini, kebiasaannya kita biasa mendengar tentang penambahan dana
untuk menampung bajet, namun tindakan kali ini luar daripada kebiasaan dan mula
mencetuskan kegusaran dalam beberapa sektor.
Sebelum semakan semula dibuat,
banyak pihak meletakkan harapan kepada Perdana Menteri agar sektor mereka tidak
mengalami kekurangan bajet.
Masing-masing dengan pendirian berharap agar peruntukan mereka tidak
dikurangkan dalam penyemakan semula bajet 2016 ini. Secara egosentriknya pasti
semua akan mempertahankan kepentingan sektor masing-masing. Namun begitu,
keputusan yang dibuat oleh Perdana Menteri kebiasaannya haruslah berteraskan
keperluan rakyat dan bukan sekadar kepentingan suatu sektor semata-mata. Ini
kerana dalam apa jua pelaksanaan dasar kerajaan ataupun keputusan yang dibuat
oleh pemimpin, golongan yang paling merasa akibatnya ialah golongan rakyat.
Justeru, rakyat mestilah didahulukan.
Semua sedia maklum pengurangan
besar bajet 2016 dalam bidang pendidikan khususnya pendidikan tinggi telah
menzahirkan sedikit ketidakpuasan hati khususnya golongan mahasiswa.
Rasionalnya mungkin boleh difahami apabila kerajaan menggesa pihak universiti
untuk berusaha menggembleng dana sendiri dan tidak terlalu berharap dengan
insentif yang diberi. Penyemakan semula bajet kali ini mungkin akan mewujudkan
lebih banyak ketidakpuasan hati daripada pelbagai sektor. Walau bagaimanapun,
kerasionalan keputusan yang dibuat haruslah boleh diterima dengan senang hati.
Pada dasarnya, penstukturan
semula bajet ini perlu dijadikan satu platform untuk menampakkan keprihatinan
kerajaan terhadap ekonomi dan rakyat. Langkah seperti menambah insentif
berbentuk jangka masa panjang berbanding pemberian "one off money"
dilihat lebih menguntungkan masyarakat secara keseluruhan. Selain itu,
penambahbaikan pada bajet juga akan menjadi batu loncatan untuk memenangi hati
rakyat yang semakin tertekan menghadapi pelbagai masalah ekonomi seperti
kenaikan harga barang dan penambahan harga untuk perkhidmatan seperti tol dan
pengangkutan awam. Sebagai pembuat keputusan, Perdana Menteri perlu berfikir
lebih jauh ke hadapan dalam menangani isu harga minyak dunia yang menjejaskan
pendapatan negara ini. Keputusan yang dibuat tidak boleh bersifat ad-hoc
sebaliknya mampu memacu negara ke arah menjadi sebuah negara berdaya saing
dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu.
Sebagai penutup, negara sedang
berusaha untuk berubah dan menyesuaikan diri dengan keadaan ekonomi semasa.
Harga minyak dunia, bukan sekadar perkara yang boleh dianggap biasa.
Kejatuhannya mencetuskan masalah ekonomi di setiap pelosok dunia. Kita perlu
berubah selaras dengan apa yang berlaku hari ini. Harapan seluruh rakyat jelata
ialah supaya perubahan kali ini adalah lebih baik dari yang sebelumnya. Semoga
ada berita gembira untuk seluruh rakyat Malaysia. Langit tidak selalunya cerah,
semoga esok lebih baik dari semalam.
Ishak Sairozi
Eksekutif Yayasan 1Malaysia
Comments
Post a Comment