Menjelang tahun 2016, Malaysia
semakin matang dalam beberapa siri kemajuan. Pembangunan dan kejayaan bergerak
seiring dalam pelbagai aspek sama ada ekonomi, sukan, kesenian, kerohanian dan
intelektual. Walaupun daripada segi ekonomi, rakyat sedang dalam keadaan
menanggung beban hidup yang semakin menghimpit sehingga seorang timbalan
menteri terpaksa mencadangkan alternatif dua kerja sebagai langkah penyelesaian,
kita masih lagi di landasan yang tepat dalam mencapai ekonomi mapan.
Transformasi demi transformasi yang
menyerlahkan Malaysia di mata dunia telah berjaya membawa kita berdiri sama
tinggi dengan negara membangun yang lain. Ketidaktentuan harga minyak dunia
yang sedikit menjejaskan nilai ringgit telah menyaksikan kerajaan lebih memberi
tumpuan terhadap masalah pemulihan ekonomi. Dalam kerancakkan menangani masalah
ini kita seakan sudah terlupa akan satu azam yang pernah digagaskan pada 2
April 2009 oleh Perdana Menteri keenam, Datuk Seri Najib Abdul Razak.
Gagasan yang dimaksudkan ialah
gagasan 1Malaysia, rakyat didahulukan pencapaian diutamakan. Gagasan yang
berteraskan perpaduan sebagai matlamat utama ini merupakan satu transformasi
yang dibina untuk matlamat jangka masa panjang. Selain itu, gagasan ini ialah
penerus legasi perpaduan untuk masyarakat majmuk di Malaysia. Namun begitu,
azam ini seakan sumbu pelita yang disimbah air. Pelbagai inisiatif dilakukan
atas nama 1Malaysia tetapi ia lebih berbentuk mendatangkan faedah dari aspek
ekonomi.
Bantuan Rakyat 1Malaysia, Projek
Perumahan 1Malaysia, Baucer Buku 1Malaysia, Klinik Rakyat 1Malaysia, antara
inisiatif kerajaan yang mendahulukan rakyat khasnya dari aspek ekonomi. Tidak
ketinggalan juga kisah 1MDB sebagai salah satu agenda satu Malaysia yang
membingungkan rakyat. Peningkatan kos sara hidup pada masa kini telah
menyaksikan kerelavanan beberapa inisiatif ini. Walau bagaimanapun, ia tidak
begitu menyumbang khususnya daripada segi perpaduan antara kaum.
2015 telah menyaksikan angin
perkauman kembali bertiup kencang. Tragedi Low Yat yang pernah mewujudkan rasa
ketidakpuasan hati dua kaum di Malaysia telah membawa kepada beberapa impak
negatif. Bersih 4.0 juga telah menjadi tempat sentimen perkauman diusik. Bersih
4.0 dianggap sebagai perhimpunan kaum Cina hanya kerana kaum Cina merupakan
majoriti yang hadir pada perhimpunan tersebut. Susulan Bersih 4.0, satu lagi
perhimpunan yang dianjurkan oleh Perkasa telah menjadi medan perhimpunan kaum
Melayu di tengah bandar raya. Dua keadaan ini seakan ingin memberitahu bahawa
semangat 1Malaysia sudah semakin pudar.
Usaha Yayasan 1 Malaysia mengisytiharkan
Kuching sebagai Bandaraya Perpaduan pada bulan Ogos yang lepas seakan tidak
cukup untuk memperlihatkan bahawa masih ada pihak yang komited untuk
mengkomersialkan perpaduan di peringkat kebangsaan. Pada hari ini laungan satu
Malaysia sudah tidak lagi menjadi satu simbolik di majlis-majlis kerajaan.
Mungkin benar bahawa perpaduan sudah tidak lagi dipandang serius oleh pucuk
pimpinan.
Menjelang tahun 2016 ini,
semangat 1Malaysia seharusnya perlu dibangkitkan semula. Perpaduan kaum adalah
perkara yang paling utama dalam masyarakat berbilang kaum. Meski perpaduan
tidak mendatangkan keuntungan daripada segi wang ringgit, tetapi perpaduan akan
mendatangkan keuntungan daripada pelbagai
jenis aspek yang lain khasnya kesejahteraan Malaysia. Sehubungan dengan itu,
kerajaan, dan masyarakat disarankan untuk menghidupkan kembali laungan
perpaduan 1 Malaysia yang kian sayup kedengaran pada masa kini. Penghujung
kata, benar kita boleh pergi laju dengan berlari seorang diri, tetapi kita
mampu untuk pergi lebih jauh, jika kita berjalan bersama-sama.
Salam 1 Malaysia
Salam Tahun Baru
Ishak Sairozi
Eksekutif Yayasan 1Malaysia.
Comments
Post a Comment