Jangan Manipulasi Agama.


Kita hidup di zaman agama dijadikan sebagai satu alat untuk meraih populariti. Mutakhir ini banyak kes kes berkaitan agama sudah mula digunakan sebagai alat mendapatkan nama. Kes mengangkat sumpah menggunakan al-Quran oleh Saiful Bukhari ketika kes melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim antara contoh popular penggunaan agama. Ia kemudian diikuti dengan beberapa fatwa dan kenyataan yang diwujudkan oleh beberapa tokoh terkenal. Beberapa isu lagi yang melibatkan penggunaan agama ialah isu pengharaman vape, bayar tol satu jihad (Harian Metro 1 Jun 2007), dan terbaru isu khalwat hak peribadi yang dikeluarkan oleh suatu kumpulan bekas penjawat awam yang membawakan Islam wassatiyyah dalam madah perjuangan mereka.
G25 pada 6 Disember yang lepas  telah  menuntut sebuah jawatankuasa perunding ditubuhkan bagi membincangkan pindaan atau pemansuhan beberapa undang-undang syariah. Antaranya termasuklah hukuman terhadap perbuatan berkhalwat yang menurut mereka melanggar hak kebebasan dan privasi individu seseorang seperti termaktub dalam perlembagaan.
Memetik kenyataan jurucakap G25, Datuk Noor Farida Ariffin berkata, dengan berpandukan pada prinsip perlembagaan, kumpulan tersebut menentang sebarang hukuman terhadap perbuatan khalwat jika dilakukan di rumah persendirian kerana itu adalah hak dan privasi setiap individu. Menurutnya, perbuatan khalwat di tempat peribadi adalah dosa peribadi antara pelakunya dengan Allah kecuali jika dilakukan di kawasan awam, namun Malaysia adalah satu-satunya negara yang menjatuhkan hukuman terhadap kesalahan itu.
“Ini bertentangan dengan Islam. Apa orang buat di dalam rumah sendiri, anda tidak boleh ketuk pintu pada pukul 3 pagi dan menahan mereka, ini bertentangan dengan prinsip perundangan Islam, dosa peribadi adalah antara diri sendiri dengan Allah. “Anda boleh masuk neraka atau tidak, atau apa sahaja tetapi bukan urusan undang-undang menghukum anda ke dalam penjara kerana melakukannya secara privasi di rumah, bukan taman awam,”
tegasnya dalam sidang akhbar selepas Forum Islam Dalam Demokrasi Berparlimen di bangunan Persatuan Alumni Universiti Malaya (PAUM) hari ini.
Kenyataan Datuk Faridah ini jika kita nilai secara logik masyarakat sememangnya suatu kenyataan yang tidak masuk akal dan seolah-olah suatu kenyataan yang menyesatkan. Namun jika kita nilai daripada aspek kemanusiaan dan hak asasi manusia, terdapat kebenaran dalam kenyataan yang dikeluarkan. Hak privasi seseorang adalah sesuatu yang telah termaktub dalam perlembagaan persekutuan dan tindakan menganggu privasi ini dianggap salah. Jika kita mengkaji dengan lebih mendalam dari sudut agama, kita akan menemukan beberapa dalil yang membenarkan kata-kata jurucakap G25 ini.
Dr Yusuf al-Qaradawi ada menyebut dalam kitabnya Min Fiqh al-Daulah fi al-Islam.
“Kemungkaran itu mesti nyata dan dilihat.

“Adapun jika pelakunya melakukannya secara sembunyian dari pandangan manusia dan menutup pintu rumahnya, maka tidak seorang pun boleh mengintipnya atau merakamnya secara diam-diam dengan menggunakan alat elektronik atau kamera video atau menyerbu rumahnya untuk memastikan kemungkarannya,”
Imam Syafie dalam kitab AIhya ‘Ulum al-Din menceritakan tentang peristiwa yang berlaku pada Khalifah Umar Al Khattab yang ditegur kerana memanjat ke rumah seorang lelaki yang berpakaian tidak sopan. Tindakan ini ditegur dengan alasan Allah melarang mengintip kesalahan orang lain, dan memerintahkan seseorang untuk meminta izin memasuki sebuah rumah serta memberi salam sebelum masuk.
Berdasarkan penyataan ini adakah kita harus menerima cadangan G25 terhadap pemansuhan undang-undang khalwat ini?
Jawapannya sudah semestinya tidak. G25 seperti yang kita tahu merupakan sebuah jawatankuasa yang memperjuangkan pelaksanaan Islam secara wasatiyah. Wasatiyah bermakna cara islam yang dianggap sederhana atau dalam kata lainnya berpendapat Islam itu mudah. Benar, Islam itu mudah, tetapi tidak bermakna Islam boleh diambil mudah dan dipermudahkan mengikut kehidupan kita.
Bagaimana seorang manusia yang diberikan pinjaman tubuh badan, nyawa, udara dan sekelilignya boleh menyatakan bahawa melakukan khalwat itu adalah hak peribadi. Siapa kita untuk menyatakan bahawa semua yang kita ada, merupakan milik kita. Seorang yang meletakkan kepentingan diri melebihi rasa takut kepada Sang Pencipta adalah seorang yang telah mendahului Allah. Seharusnya apa-apa yang berkaitan hukum haruslah dilihat berpandukan Al-Quran, dan jika tidak dinyatakan barulah disemak ke dalam hadis. Al quran menyebut dalam surah Al Isra ayat 32 menyebut dengan jelas, tentang larangan menjauhi zina. Oleh itu, G25 perlu memberitahu kepada masyarakat, mana satu fakta yang boleh mengatakan bahawa berkhalwat di rumah sendiri ini selari dengan apa yang dinyatakan oleh Al-Quran?
Selain itu, G25 juga dianggap tidak rasional apabila mempertikaikan undang-undang syariah yang dijalankan di Malaysia. Selaku badan yang menyokong Islam seharusnya kita perlu untuk memperkasakan undang-undang syariah yang melindungi orang Islam. Tidak perlu pertikaian tentang isu bercanggah dengan perlembagaan persekutuan sehingga ia perlu dimansuhkan. Seharusnya selaku umat islam yang berjuang mempertahankan syiar Islam, langkah yang perlu diambil ialah ,memperkasa, bukan memperkosa undang-undang sedia ada.
Inilah masalah yang terjadi apabila islam digunakan sebagai alat untuk meraih populariti. Islam sebagai satu cara hidup ialah sesuatu yang perlu diamalkan oleh anggota G25. Pemahaman asas tentang Islam adalah yang perlu dipelajari terlebih dahulu sebelum mengeluarkan sebarang isu berkaitan Islam. Kita mungkin boleh menggunakan frasa "lihat apa yang disampaikan, bukan siapa yang menyampaikan". Tetapi kita juga perlu membuat apa yang dikatakan kerana kita memegang prinsip "walk the talk" dan "kepimpinan melalui tauladan".

Berhentilah mempergunakan agama sebagai alat untuk meraih populariti. Pesan akhir dari seorang khalifah kerdil kepada anggota G25 dan semua yang bertujuan mempermainkan agama. Tutup mulut, tutup aurat, kenal pasti dan lihat, baru suarakan pendapat. Islam bukan agama akal. Semoga terbuka pintu hidayah. 

Ishak Sairozi 

Comments