Pada 29 dan 30 Ogos 2015, negara telah
menyaksikan satu lagi himpunan aman yang dianjurkan oleh badan bukan kerajaan
yang dianjurkan oleh Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) . Ini
merupakan penganjuran Bersih kali keempat dan himpunan ini menggelarkan diri
mereka sebagai Bersih 4.0. Penganjuran ini merupakan yang paling lama
berbanding siri-siri yang sebelumnya dimana ia telah berlangsung selama 36 jam
dan dianggotai oleh 300 000 anggaran peserta. Bersih 4.0 juga merupakan siri
himpunan yang paling aman jika hendak dibandingkan dengan siri-siri sebelumnya.
Selepas tamatnya Bersih 4.0, beberapa isu cuba
dimainkan oleh pihak anti Bersih. Terdapat beberapa pihak yang menyelar
tindakan badan itu, dengan mengatakan Bersih 4.0 telah memalukan Malaysia.
Merujuk artikel yang diterbitkan oleh Utusan Melayu pada 2 September 2015
dengan tajuk "Malulah Kamu", jelas cuba untuk memperlihatkan beberapa
keburukan yang berlaku dalam Bersih 4.0. Antara keburukan yang ditunjukkan
ialah pengekploitasian kanak-kanak, medan mempromosi LGBT, kebiadaban peserta
Bersih 4.0 dan beberapa isu perkauman. Artikel ini akan cuba mengulas tentang
ketidakmatangan masyarakat dalam melibatkan isu perkauman dalam sebuah
himpunan.
Himpunan Bersih 4.0 secara anggarannya
dihadiri seramai 200 ribu ke 300 ribu orang. Berdasarkan jumlah tersebut,hanya
10 peratus mewakili kaum Melayu yang muncul pada hari pertama dan 30 peratus
pada hari kedua. Majoriti yang hadir ialah kaum Cina dan terdapat jumlah kecil mewakili kaum India. Keadaan ini telah
menyebabkan beberapa pihak cuba menangguk di air keruh dengan mewujudkan isu
kaum. Antara beberapa isu yang diwujudkan ialah orang Melayu tidak menyokong
Bersih, hanya segelintir masyarakat Cina yang menyertainya, dan Bersih adalah
perhimpunan orang Cina.
Terdapat beberapa kenyataan yang mengatakan
perhimpunan Bersih 4.0 yang dianjurkan kali ini berlangsung secara aman kerana
kurangnya penglibatan orang Melayu. Orang Melayu dikaitkan sebagai punca provokasi
dan penyebab kepada polis menjadi ganas. Selain itu, ramai juga yang mengatakan
Himpunan Bersih kali ini kurang penglibatan daripada pelbagai kaum kerana isu
yang melibatkan dua parti pembangkang yang sudah semakin tidak sehaluan. Isu
tentang perkauman ini dihangatkan lagi melalui sebuah klip video yang
memaparkan penyokong Bersih 4.0 memijak gambar pemimpin negara dan pemimpin
dari Parti Islam Se-Malaysia. Tindakan ini menimbulkan kemarahan orang Melayu
yang merasakan perkara ini melampaui batas. Justeru, laporan polis dibuat untuk
menyatakan rasa ketidakpuasan hati mereka.
Meneliti segala isu ini, Datuk Seri Liow Tiong
Lai menggesa agar rakyat tidak melibatkan isu perkauman dalam Bersih 4.0. Ini
kerana Bersih 4.0 diadakan sangat hampir dengan Hari Kemerdekaan Malaysia.
Seharusnya kita mengelakkan daripada meniupkan isu perkauman dalam hal Bersih
4.0 kerana ia bukan perkara utama yang diperjuangkan Bersih 4.0.
Masyarakat harus berhenti memecah belahkan
kaum hanya kerana isu peserta yang menghadiri Bersih 4.0 . Perpaduan kaum perlu
disemai, dijaga dan dipelihara selaras dengan slogan sehati sejiwa. Beberapa
isu tentang perkauman contohnya penglibatan kaum dalam sesuatu perhimpunan
tidak dapat dijadikan kayu ukur yang kuat untuk menilai perpaduan kaum di
Malaysia. Bagi isu memijak gambar pemimpin pula, individu yang terlibat perlu tampil
dan menyerah diri serta membuat kenyataan memohon maaf secara terbuka. Isu ini
jika dibiarkan boleh mengakibatkan rasa ketidakpuasan hati kaum Melayu semakin
menebal. Oleh itu, pihak yang terlibat perlu mengamalkan sifat berani buat
berani tanggung dan minta maaflah atas kebiadaban yang dibuat semasa kekecohan.
Permohonan maaf ini sekurang-kurangnya dapat meredakan api kemarahan kaum lain
sekaligus dapat mengelakkan isu perkauman dalam masyarakat.
Secara ringkasnya, rakyat perlu sedar bahawa
isu perkauman perlu dipandang serius dan tidak boleh dijadikan bahan untuk
mencari sensasi. Isu perkauman tidak boleh terus dimainkan untuk mencari
populariti. Bersih 4.0 telah berlalu secara aman dan beberapa isu tentang
perkauman tidak sewajarnya dijadikan bahan bualan. Pada bulan kemerdekaan ini
kita perlu untuk terus berusaha mencari kunci yang mengeratkan kita dengan
perpaduan kaum di Malaysia. Tidak perlu kaitkan Bersih 4.0 dengan isu perkauman
kerana itu bukan agenda utama perhimpunan tersebut. Perpaduan harus dijaga,
perpaduan harus dipelihara untuk kesejahteraan Malaysia, kerana kita sehati
sejiwa.
ISHAK SAIROZI
Comments
Post a Comment