Di Malaysia, cuma hujan yang turun.


Sebagai rakyat Malaysia, kita telah menerima pelbagai berita tentang kenaikan beberapa perkara yang terjadi dalam masa terdekat. Jangan bermuram durja tatkala kita mengetahui bahawa harga tol dinaikkan kerana tol telah lama tidak dinaikkan harganya. Jangan pula merungut apabila mengetahui bahawa pada tahun hadapan terdapat beberapa lagi lebuhraya akan dinaikkan tolnya. Ini kerana jika tidak dinaikkan kerajaan perlu menanggung sebanyak RM593juta untuk menanggung kos kenaikan tersebut. Maka rakyat Malaysia haruslah cuba mengelakkan penggunaan tol dengan mengambil dua inisiatif yang disarankan oleh kerajaan iaitu bangun awal pagi untuk menggunakan jalan yang tiada tol, dan cuba untuk berhijrah dari bandar yang terdapat banyak tol. Langkah yang lebih produktif ialah penggunaan perkhidmatan awam yang cepat, efisien dan murah.
Walau bagaimanapun, rakyat seharusnya bersifat tabah, apabila pihak pengangkutan awam seperti Keretapi Tanah Melayu Berhad(KTMB) dan Transit KLIA Ekspress menaikkan harga tiketb melebihi 200 peratus. Ini kerana kenaikan ini tidak dapat dihalang oleh kerajaan yang telah bertungkus lumus memastikan mereka menghadiri perhimpunan Agung UMNO dengan megah disamping sesetengah pihak yang terlalu sibuk hingga tidak mampu menghadiri sidang parlimen untuk mendengar pembentangan Bajet 2016 yang bersifat rakyat didahulukan. Bersyukurlah kita masih ada Perdana Menteri yang mendengar keluhan rakyat tentang kenaikan harga barangan ini lantas mengumumkan kerajaan akan mengkaji semula dan meminta pihak KTMB untuk memberikan diskaun kepada mereka-mereka yang dirasakan perlu.
Kita juga sedang menghadapi harga barangan komoditi harian yang naik akibat daripada penarikan subsidi yang terpaksa kerajaan ambil atas faktor kenaikan harga minyak dunia yang tidak dapat dielakkan. Pengurangan subsidi ini memungkin kita rakyat Malaysia untuk menghadapi kenaikan beberapa harga barang lain dan kita seharusnya bersedia dengan perkara ini kerana kita telah pun dibekalkan dengan kenaikan duit yang diberikan oleh kerajaan Malaysia melalui pimpinan Perdana Menteri keenam kita.
Perdana Menteri yang mengumumkan kenaikan pemberian BR1M kepada setiap isi rumah yang layak seharusnya menjadi berita baik kepada seluruh warga Malaysia. Melalui unjuran yang dikira oleh pimpinan hadapan dalam saf kerajaan kita, setiap isi rumah hanya memerlukan kurang RM50 untuk keperluan belanja sebulan. Ini untuk membeli beras, tepung dan makanan keperluan yang lain. Justeru, seluruh warga yang mendapat faedah daripada kenaikan BR1M ini haruslah bersyukur dengan kenaikan ini.

Selain itu, kita juga perlu berterima kasih atas keprihatinan kerajaan menaikkan jumlah gaji minimum untuk membolehkan kita membuat pinjaman yang lebih tinggi untuk membeli rumah dan kereta yang semakin hari semakin tinggi harganya. Pihak menteri kebanyakannya, tidak kira kerajaan atau pembangkang haruslah menjadi golongan yang paling beruntung kerana telah menerima kenaikan gaji yang tinggi untuk menghadapi bebanan hidup pada masa ini. Akhir sekali, kerajaan sudah boleh senyum hingga ke telinga, kerana hasil GST telah mencapai RM29billion pada tahun ini, dan dijangka akan naik lagi hasil kutipannya pada tahun hadapan sebanyak RM37 billion. 

Ishak Sairozi

Comments