Bahasa Melayu Malaysia Bahasa Kebangsaan.
Sehingga ke hari ini, masih ada
yang keliru, Bahasa Melayu atau Bahasa Malaysia? Kalau bahasa Melayu, maknanya
bahasa ini orang Melayu saja yang boleh gunakan. Jika begitu, maka bahasa
Malaysialah yang sebetulnya. Sebab kita orang Malaysia, jadi kita semua
berbahasa Malaysialah kan? Persoalan ini menarik untuk kita kupas. Sekian lama
bahasa Melayu diangkat sebagai bahasa kebangsaan di Malaysia tetapi kita masih
lagi tidak mampu untuk menjawab persoalan sebegini mudah.
Bagi menjawab persoalan di atas, penulis
selaku penuntut di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, pernah
mendengar penjelasan ini daripada bekas Pengarah Akademi Pengajian Melayu
Professor Zahir Ahmad . Sebenarnya tidak wujud istilah bahasa Malaysia dalam
dunia bahasa Melayu yang meliputi benua Asia Tenggara. Istilah yang betul ialah bahasa Melayu
Malaysia. Tiada istilah bahasa Malaysia yang diiktiraf oleh pakar-pakar dalam
bidang bahasa. Bahasa Malaysia merupakan sebuah retorik politik yang mempunyai
tujuan murni iaitu untuk mewujudkan satu bahasa yang boleh bersifat sebagai
agen perpaduan dalam negara Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum.
Walau bagaimanapun, dalam dunia
akademik, pakar bahasa menyatakan bahawa bahasa yang wujud ialah Bahasa Melayu.
Bahasa Melayu merujuk kepada bahasa yang dituturkan kaum Melayu daripada
pelbagai rumpun. Terdapat tiga bahasa Melayu yang dikategorikan secara besar
iaitu Bahasa Melayu Malaysia, Bahasa Melayu Indonesia, dan Bahasa Melayu
Brunei. Setiap bahasa Melayu yang digunakan dalam tiga negara ini adalah hasil
perbincangan berdasarkan Majlis Bahasa Brunei, Indonesia, dan Malaysia
(MABBIM). Oleh yang demikian, bahasa kebangsaan yang sebenarnya bukanlah bahasa
Melayu atau bahasa Malaysia sebaliknya bahasa Melayu Malaysia.
Apa pula bahasa kebangsaan? Bahasa kebangsaan
ialah bahasa pengantar utama
yang digunakan oleh sesebuah negara. Dalam konteks ini, bahasa kebangsaan
bagi Malaysia ialah bahasa
Melayu yang digunakan bagi segala maksud rasmi seperti yang diperuntukkan dalam
Akta Bahasa Kebangsaan (Pindaan dan Peluasan)
1983. Fungsi bahasa kebangsaan adalah sebagai lambang
identiti masyarakat, wahana perpaduan masyarakat, bahasa perhubungan sesama masyarakat, alat pemikiran dan pergaulan
masyarakat, dan sebagainya. Bahasa
kebangsaan ialah bahasa rasmi negara. Bahasa kebangsaan negara ialah bahasa
Melayu Malaysia. Penggunaan bahasa
kebangsaan adalah sebagai bahasa rasmi, bahasa pentadbiran, bahasa
perhubungan umum serta bahasa
pengantar dan bahasa ilmiah di sekolah-sekolah
dan institusi pengajian tinggi.
Perkara
152, Perlembagaan Malaysia memperuntukkan bahasa kebangsaan di Malaysia ialah
bahasa Melayu. Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan bagaimanapun
tidak menafikan kedudukan dan hak bahasa lain untuk digunakan, dipelajari dan
dikembangkan sekalipun dengan menggunakan dana awam. Kewujudan Perkara 152
tidak boleh dipadam kerana Perkara 159(5) menetapkan bahawa perkenan Majlis
Raja-Raja diperlukan sekiranya ia hendak dipinda.
Berdasarkan
penerangan yang sudah terang lagi bersuluh di atas maka kita seharusnya harus
mengambil langkah proaktif untuk memperkasakan lagi fungsi bahasa Melayu
sebagai bahasa kebangsaan. Kita lihat bagaimana Indonesia sudah berjaya
menjadikan bahasa Melayu Indonesia sebagai bahasa kebangsaan mereka. Bahasa
kebangsaan perlu diperkasakan di Malaysia atas beberapa faktor. Pertama, kita
perlukan bahasa kebangsaan sebagai bahasa perpaduan. Kepelbagaian ialah
kebanggaan negara Malaysia yang majmuk. Walau bagaimanapun, kita perlukan satu
persamaan nasional yang boleh memperlihatkan dengan jelas perpaduan negara
Malaysia yang kaya dengan pelbagai budaya dan bangsa ini. Justeru, melalui
bahasa Melayu Malaysia sebagai bahasa kebangsaan kita akan dapat memupuk
perpaduan melalui persamaan bahasa yang digunakan di Malaysia.
Selain
itu, bahasa Melayu juga boleh menjadi identiti nasional Malaysia. Sudah tiba
masa kita mengagungkan bahasa ini dan mengangkat martabatnya sebagai bahasa
bertaraf antarabangsa. Pada masa ini bahasa Melayu mempunyai bilangan penutur
yang agak ramai. Bahasa Melayu dikatakan memiliki jumlah penutur yang
dianggarkan lebih 300 juta orang. Dengan jumlah itu, bahasa Melayu dikatakan
menjadi bahasa keempat dalam turutan bahasa terbesar di dunia selepas bahasa
Mandarin, bahasa Inggeris, dan bahasa Hindi/bahasa Urdu. Kita mungkin boleh
berbangga dengan kedudukan bahasa Melayu berdasarkan jumlah penuturnya itu.
Namun, jumlah penutur semata-mata bukan jaminan bahawa bahasa Melayu dapat
menjadi bahasa komunikasi bersama masyarakat antarabangsa. Usaha kita sebagai penutur bahasa Melayu
seharusnya cuba untuk mempromosikan bahasa ini di mata dunia seperti negara
Jepun yang berkeras untuk bertutur bahasa Jepun dalam persidangan dunia dengan
membawa penterjemah. Ini membuktikan kesungguhan mereka dalam mempromosikan
bahasa mereka sebagai identiti kebangsaan mereka.
Bahasa
Melayu sebagai bahasa kebangsaan, seharusnya menjadi batu loncatan untuk
mempromosikan negara Malaysia di mata dunia. Bahasa Melayu sebenarnya boleh
menjadi lingua franca sekali lagi seperti mana ketika zaman Kesultanan Melayu
Melaka dahulu. Perubahan ini tidak perlu berlaku secara drastik tetapi langkah
awal sudah boleh mula diorak. Antara yang boleh dilakukan ialah dengan
mencadangkan bahasa Melayu menjadi bahasa yang digunakan dalam Asean.
Bersempena dengan Persidangan Asean yang diadakan di Malaysia, kita seharusnya
mengambil peluang ini untuk mempromosikan bahasa Melayu ke dalam komuniti Asia Tenggara terlebih dahulu. Perkara ini
bukan mustahil kerana kebanyakan negara dalam Asean biasa dengan bahasa Melayu.
Apabila kita berjaya meluaskan penggunaan bahasa Melayu ke Asean, peluang untuk
pengantarabangsaan bahasa Melayu akan menjadi lebih cerah. Justeru, kita harus
ambil peluang ini kearah memajukan bahasa Melayu Malaysia ke peringkat yang
lebih global.
Sehubungan
dengan itu, kita seharusnya sudah sepakat membawa berkat, melatah hati gajah,
meratah hati kuman untuk sama-sama menjadikan impian ini satu kenyataan. Bahasa
Melayu Malaysia sebagai bahasa kebangsaan merupakan inisiatif nasional, bahasa
Melayu Malaysia sebagai bahasa dunia sebagai satu usaha internasional. Pada
peringkat ini, marhaen hingga pemimpin harus seia sekata sehati sejiwa
bersama-sama memainkan peranan untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa
yang disegani dan dihormati. Pemimpin kurangkanklah bahasa Inggeris dalam
pengucapan awam, rakyat pula perlulah mula membiasakan diri menggunakan bahasa
Melayu Malaysia dalam perbualan. Semoga menjelang 2020 bahasa Melayu Malaysia
diangkat menjadi bahasa antarabangsa.
Comments
Post a Comment