Merdeka Sayup.
Beberapa hari sebelum merdeka, kita masih sunyi. Sunyi daripada iklan kemerdekaan. Sunyi daripada promosi kemerdekaan. Sunyi daripada sambutan hari kebangsaan. Malaysia kini lebih hingar dengan isu semasa, isu 1MDB, isu dana politik, isu kuasa, isu vape dan isu picisan. Buang bayi, bunuh diri, komplot peribadi, dan menyekat laman peribadi dilihat lebih penting dari semangat kemerdekaan yang tinggal beberapa hari lagi.
Anak muda kini lebih sibuk dengan ipad dan gadjet, berbanding melukis bendera kebanggaan. Tidak seperti dulu, tiba sahaja bulan Ogos, kanak-kanak akan berusaha mencari bendera untuk diperagakan di basikal buruk mereka. Kereta-kereta di jalan raya akan berkibar bendera kebanggaan,memperlihatkan bahawa ada perayaan yang akan disambut iaitu sambutan hari kemerdekaan.
Namun begitu, hari ini, merdeka pada kali ini suram. Isu-isu berkaitan perpaduan sudah lama tidak disiarkan. Kuching Diisytiharkan sebagai Bandaraya Perpaduan pun seolah-olah tidak mampu menyemarakkan semangat kemerdekaan yang akan datang. Adakah ini kerana kurang kecaknaan terhadap kemerdekaan ataupun masyarakat lebih pentingkan isu semasa berbanding bulan kemerdekaan.
Di saat anak-anak kecil semakin dijajah dengan gadjet-gadjet canggih dan artis korea yang menghiburkan, ibu-bapa pula sibuk memikirkan tentang cerita politik yang tiada kesudahan. Pak-pak menteri lebih sibuk mewujudkan parti baru, sibuk mempertahankan parti lama, sibuk ingin mengekalkan pemerintahan parti dalam kerajaan. Media tempatan pula lebih banyak menyiarkan tentang isu semasa hingga terlepas pandang tentang hari merdeka.
Sudah tiba masanya untuk kita lupakan seketika tentang perkara di sekeliling kita. Pandanglah 31 Ogos 2015 sebagai sebuah hari yang mengingatkan kita pernah dijajah, oleh pemerintah yang dahagakan darah, supaya kita sedar bahawa hari ini, penjajahan mendatangkan kesan yang ngeri kepada atuk-nenek kita. Supaya kita dapat mengambil iktibar daripada peristiwa penjajahan dan tidak pula kita bersifat ingin menjajah negara sendiri dengan cara memonopoli segala hasil bumi.
Tiuplah kembali semangat kemerdekaan ke dalam ruh ruh anak muda dan generasi masa kini. Merdeka bukan untuk budak sekolah sahaja. Merdeka bukan sejarah yang dihafal untuk lulus periksa. Merdeka bukan sekadar pengalaman kedua orang tua kita hidup susah. Merdeka bukan sekadar bendera. Merdeka ialah hari kebanggaan kita. Merdeka adalah signifikan Malaysia dalam mewujudkan sebuah negara Malaysia yang intinya daripada pelbagai kaum. Merdeka di Malaysia adalah gabungan kepelbagaian budaya dan agama, variasi bangsa dan bahasa, penerimaan dan toleransi yang sekata. Merdeka mengajar kita untuk menjadi lebih bangga mengaku diri sebagai bangsa Malaysia.
Lupakan seketika sengketa politik, kemeruduman ekonomi, kejatuhan ringgit, perselisihan faham, isu fatwa dan kebejatan sosial. Semuanya terjadi kerana kita terlupa tentang kemerdekaan. Negara kita merdeka,tetapi kita sendiri mengongkong diri dalam isu semasa yang setiap masa bertukar tajuk ceritanya. Pandanglah ke hadapan. Kibarkan jalur gemilang di seluruh pelusuk negara. Titipkan kembali rasa kemerdekaan.
Akhir kata, satu persoalan untuk difikir pembaca.
Kenapa masa pilihan raya, bendera parti lebih banyak daripada bendera Malaysia semasa zaman merdeka?
Jika cinta pada parti lebih daripada cinta pada negara, jangan bersembang yang kamu ingin memerintah negara kerana cintakan Malaysia, kamu hanya ingin parti kamu menjajah Malaysia.
Malaysia akan terus merdeka. Malaysia akan terus berkibar megah, Malaysia hanya perlukan mereka yang sepakat sekata, sehati sejiwa. Kerana hati, dan jiwalah, tempat dimana semangat kemerdekaan disimpan erat. Dijaga sempurna.

Malaysia Merdeka
Ishak Sairozi


Comments