Kuching Bandaraya Perpaduan
Mereka kata Malaysia kaya dengan sejarah. Maka
dengan itu kita ada Melaka Bandaraya bersejarah. Mereka lihat di Malaysia
terdapat banyak alim ulama, maka kita lihat wujudnya Kota Bharu sebagai Serambi
Mekah. Mereka gambarkan lagi, Malaysia sangat menarik sebagai kawasan
pelancongan, maka kerajaan isytiharkan Pulau Langkawi sebagai Bandar
Pelancongan. tetapi sesuatu yang menarik
untuk diperkatakan disini ialah mereka di seantero dunia menyebut Malaysia
sebagai sebuah negara yang kaya dengan perpaduan tetapi kenapa kita tiada
bandar perpaduan? Malaysia adalah satu polemik yang dicanang sebagai sebuah negara
unik yang berkongsi kepelbagaian etnik dibawah satu bendera namun begitu apa
yang menjadi simboliknya? Atas kecaknaan ini, satu inisiatif mewujudkan sebuah bandar
perpaduan perlu di pandang serius.
Bandar
Perpaduan perlu wujud sebagai salah satu tarikan yang mempromosikan Malaysia
sebagai negara yang terdiri daripada asas masyarakat majmuk yang harmoni. Setamsil pentingnya bandaraya bersejarah dalam
mengekalkan estetika sejarah yang dimiliki negara ini, begitu juga pentingnya
bandaraya perpaduan diwujudkan sebagai mempromosikan kerencaman yang dimiliki negara
ini.
Dalam
mewujudkan sebuah Bandar Perpaduan di negara ini, Yayasan 1 Malaysia, melalui Senior
Eksekutif Komunikasinya Saudari Ong Yuen Ling telah merangka satu kertas kerja yang
mencadangkan agar Kuching dipilih sebagai Bandar Perpaduan. Kertas kerja projek
yang dibentangkan kepada Ketua Menteri Sarawak ini kemudiannya telah disambut
baik dan bakal diisytiharkan pada 1 Ogos 2015 ini bersempena dengan Hari Penubuhan Bandar
Kuching.
Signifikan
dalam memilih Kuching sebagai Bandaraya Perpaduan adalah berasaskan beberapa
faktor yang telah dikaji. Antaranya ialah status bandar itu yang dikategorikan sebagai
maju, kepadatan penduduk dan kepelbagaian etnik serta variasi kebudayaan.
Sementelahan pula, Kuching juga dipilih atas alasan kestabilan politik dan
keunikan struktur pengurusan bandarnya. Akhir sekali, pemilihan Kuching sebagai
bandaraya perpaduan adalah berpasakkan keharmonian asli yang dapat dilihat
daripada penerimaan pelbagai kebudayaan. Penerimaan ini diterjemahkan dalam
bentuk kadar perkahwinan campur yang tinggi serta pemahaman dan toleransi yang
tulen dalam kalangan masyarakat yang mewakili jagatraya Malaysia secara
seanteronya.
Berdasarkan
faktor-faktor yang dinyatakan, tidak dapat dinafikan bahawa Sarawak adalah
negeri yang mana keharmonian, dan kesatuan benar-benar jelas kelihatan. Perkara
ini dapat diterjemahkan dengan melihat Kuching sebagai ibu negeri yang turut
berfungsi sebagai bandar perpaduan. Perisytiharan Kuching sebagai bandar
perpaduan semestinya akan memberi inspirasi kepada bandar-bandar lain, dan
sebagai satu permulaan untuk dijadikan panduan kepada bandar-bandar lain. Akhir
kata, inisiatif inilah yang akan terus memelihara perpaduan dalam kalangan
komuniti sarwajagat di Malaysia yang berteraskan harmoni dan kepelbagaian.
Disediakan oleh
Ishak Sairozi b Abdullah.
Yayasan 1Malaysia.
Comments
Post a Comment