Integriti : Bercakap bohong,lama-lama jadi menteri.


Masih ingat lagi, emak ayah sentiasa berpesan kepada anak-anak yang sedang membesar, jangan bercakap bohong. Orang-orang lama berpesan dalam dua baris pantun yang cukup singkat dan mempunyai makna yang padat.

SIAKAP SENOHONG,GELAMA IKAN DURI,
BERCAKAP BOHONG LAMA-LAMA MENCURI.

Pesanan ini disimpan kemas oleh seorang insan sepanjang proses pembesarannya. Dengan nilai inilah manusia hidup dan menjadi insan yang berintegriti. Sungguh penting nilai integriti dalam kehidupan insan. Ia bukan saja melibatkan diri sendiri malah ia turut melibatkan insan sekeliling kita. Apa perasaan kita bila seseorang tidak jujur dengan kita? Apa pula perasaan kita, bila kita tidak jujur kepada seseorang. Hidup tanpa integriti melahirkan suasana hidup yang tidak harmoni. Tapi sekarang ini, kita sedang melihat bagaimana sumber integriti itu sedang diperlihatkan oleh orang nombor satu negara kita.
Sejujurnya  kes 1MDB yang semakin hari semakin parah bukanlah disebabkan oleh kehangatan yang dicipta oleh 1MDB itu sendiri sebaliknya ia adalah satu nilai ketidakjujuran yang dipamerkan oleh seorang Perdana Menteri. Susah sangatkah daripada pihak 1MDB mahupun pihak Perdana Menteri sendiri untuk mengeluarkan satu kenyataan yang benar-benar jujur dan meyakinkan semula rakyat dengan cerita yang sebenar.
Bukan hendak menyelar kerajaan, tetapi rakyat sudah disogok dengan terlalu banyak cerita palsu, penipuan, pemfitnahan dan ketidakjujuran. Masing-masing menangguk di air keruh mengambil kesempatan atas kesempitan kerajaan sekarang. Tidak kurang juga yang cuba menjaga keselamatan posisi sendiri dengan mengeyakan semua yang berlaku disamping mengeluarkan kenyataan yang berseleweng dengan fakta.  Datuk Ahmad Maslan contohnya, menafikan sekeras-kerasnya bahawa ada dana masuk ke dalam akaun Perdana Menteri, sedangkan hasil siasatan dan pengakuan Perdana Menteri mengatakan memang ada wang masuk ke dalam akaunnya.
Pada masa ini, kerajaan sedang hidup dalam kepura-puraan dan ketidakjujuran. Ada yang cuba mengamalkan sikap berani kerana benar, lantang bersuara menegur kepimpinan untuk kesejahteraan kerajaan, tetapi digugurkan pula. Kita hidup dalam dunia apa? Yang berani kerana kebenaran disingkirkan, yang menipu dengan penyelewengan masih disimpan elok.
Dalam kes 1MDB kita seharusnya mengamalkan sikap jujur dalam setiap perkara. Lupakan segala akta rahsia, kerahsiaan, dan segala yang melindungi kepentingan pihak tertentu. Setiap rahsia ini perlu dibuka kerana 1MDB melibatkan rakyat. Ia tentang rakyat, dari rakyat kepada rakyat. Mengapa perlu dirahsiakan hanya kerana ingin menjaga kepentingan pihak tertentu. Selaku penyumbang kepada dana 1MDB rakyat juga perlu tahu tentang aliran 1MDB dan benarkah terdapat penyelewengan dalam dana tersebut.
Jika pemimpin sendiri tidak boleh berlaku adil kepada masyarakat, siapakan contoh terbaik yang boleh mempamerkan kepada kita tentang integriti. Kejujuran rakyat dalam mengundi pemimpin seharusnya perlu diambil kira sebagai pemberian kepercayaan kami kepada pemimpin. Kami hanya inginkan pemimpin yang jujur dan amalkan integriti.
Kerana ibu kami berpesan. Siakap senohong, gelama ikan duri, bercakap bohong lama-lama jadi pencuri.
Kami sudah mula terpengaruh dengan peribahasa moden, siakap senohong gelama ikan duri, bercakap bohong lama-lama jadi menteri.
Kami masih percaya yang pemimpin kami ada nilai integriti yang tinggi. Berkata jujurlah kepada kami, tentang 1MDB, tentang kejatuhan ringgit yang membawa inflasi, tentang akaun Perdana Menteri. Kami masih menanti nilai integriti yang sejati daripada pemimpin yang kami percayai.

Ishak Sairozi

Rakyat Biasa, 

Comments