1MDB, berani kerana benar.
Apa yang anda betul-betul tahu tentang 1MDB? Siapa yang paling tahu tentang 1MDB? Hanya 1MDB sendiri yang benar-benar tahu tentang segala maklumat berkaitan perkara ini. Kemelut yang tercipta telah menjadikan masyarakat semakin prihatin dan dahagakan makluman yang benar-benar tepat tentang akaun ini.
Banyak pihak yang cuba membuat spekulasi dan mengeluarkan kenyataan tentang 1MDB tanpa mempunyai maklumat yang datang dari pihak primer sebaliknya semuanya dari sekunder dan tidak sahih.  Tidak kurang juga yang cuba menangguk di air yang keruh dengan mengeluarkan kenyataan bersifat negatif. Kesannya beberapa hukuman dikenakan terhadap syarikat peneribitan seperti The Edge dan Sarawak Portals. Beberapa individu juga telah dihalang keluar negara berhubung isu 1MDB.
Persoalannya, adakah menghalang berita-berita tentang 1MDB ini sesuatu yang tepat. Rakyat dan  sesetengah pemimpin juga ingin mengetahui tentang 1MDB ini tetapi daripada pihak 1MDB sendiri diam seribu bahasa. Mereka hanya menafikan tuduhan dan mengelak kenyataan-kenyataan yang dianggap fitnah. Seharusnya 1MDB perlu mengeluarkan kenyataan mereka dan memberikan maklumat yang cukup agar rakyat lebih jelas tenatng kemelut yang berlaku. Memetik kenyataan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Buletin Awani menyarankan agar 1MDB mengeluarkan laporan interim sebagai dokumen awam.  Ini bagi memberi kefahaman kepada rakyat tentang bagaimana dana kerajaan yang sebahagian besarnya dari wang rakyat digunakan oleh kerajaan yang mentadbir.
Tan Sri Muhyiddin juga menuntut agar ada pihak yang mampu menjelaskan  kepadanya tentang 1MDB. Memetik kata-katanya dalam Awani 27 Julai 2015, dalam satu artikel bertajuk. 1MDB: Kalau The Edge tidak betul, beritahu saya apa yang betul - Muhyiddin. Jika orang kedua terpenting negara juga tidak tahu akan apa status 1MDB apatah lagi golongan rakyat marhaen.
Justeru, disini apa yang sebenarnya ingin disembunyikan oleh 1MDB. Pegang pada kata-kata peribahasa berani kerana benar, takut kerana salah. Kita juga diajar oleh peribahasa, bila ditanya dan kita diam, maknanya kita setuju dengan apa yang dikata. Diam tanda setuju. Keluarkanlah kenyataan yang mampu menyelesaikan kemelut dalaman 1MDB. Jika The Edge dikatakan merosakkan keharmonian dalam masyarakat, ketidaktelusan 1MDB juga boleh disebut sebagai punca ketidakharmonian masyarakat.
Tindakan menghalang kebebasan media hanyalah satu usaha untuk melambatkan kebenaran. Langkah yang paling berkesan sekali perlu diambil ialah dari pihak 1MDB sendiri yang perlu mengeluarkan kenyataan dan membersihkan segala permasalahan yang sedang berlaku pada hari ini. Berani kerana benar. Beranilah berkata-kata yang benar, walau  kadang kala yang benar itu terlalu pahit untuk ditelan.

Ishak Sairozi
Yayasan 1 Malaysia.


Comments