Secangkir kopi panas di pagi 13 Mei bersama sandwich di Starbucks nyata
tidak sehangat peristiwa berdarah 13 Mei 1969. Kisah parang terbang, maki hamun
sesama kaum, pertembungan antara dua kaum di Malaysia. Pembunuhan atas dasar
benci membenci antara kaum berlaku atas kerana ketidakpuasan hati antara dua
kaum. Pada hari ini kita sedar bahawa kemerdekaan yang diperolehi selepas 12
tahun nyata tidak mampu melahirkan kaum yang bersatu padu. Tanah Melayu yang diubah
kepada Malaysia atas dasar semangat penerimaan antara kaum bukanlah satu tiket
untuk kita mengatakan bahawa kita sudah boleh hidup dalam pelbagai kaum.
Suka untuk penulis merungkai semula tentang peristiwa berdarah 13 Mei
1969 ini tentang punca sebenar yang berlaku. Adakah benar ia berlaku kerana
ketidakadilan dalam pembahagian kaum? Adakah ia kerana ekonomi yang dikatakan
tidak sama rata akibat dasar pecah dan perintah yang di laksanakan oleh British
ketika zaman pemerintahan mereka? Malangnya, punca sebenar yang mewujudkan
peristiwa 13 Mei 1969 ialah akibat daripada politik dan pengaruh kuasa.
Benarkah kenyataan ini?
Terdapat dua versi yang popular yang mengaitkan peristiwa berdarah ini.
Versi pertama ialah yang disebarkan secara umum iaitu yang menyebut bahawa
punca utama yang mengakibatkan rusuhan ini berlaku ialah akibat daripada
pilihanraya umum 1969. Kegagalan parti perikatan memenangi 2/3 majoriti telah
menyaksikan parti pembangkang mempunyai kejayaan yang agak bermakna pada ketika
itu. Ketua Pemuda DAP pada ketika itu antara individu penting yang membawa
kepada pertembungan dua kaum ini. Perarakan menyambut kemenangan yang diraikan
oleh parti pembangkang pada ketika itu telah menjadi pencetus kepada peristiwa
berdarah ini. Menurut sumber terdapat sesetengah individu dalam perarakan yang
telah mencetuskan sentimen perkauman dan akhirnya membawa kepada kemarahan kaum
Melayu.
Lantaran itu, UMNO membuat perarakan balas dengan mengajak orang Melayu
berkumpul di Rumah Menteri Besar Selangor dan bermulalah rusuhan pertama.
Rusuhan ini mula tersebar di sekitar Kuala Lumpur dalam masa 45 minit dari
Jalan Campbell, Jalan Tunku Abdul Rahman (Batu Road), Kampung Datuk Keramat,
Kampung Pandan, Cheras, Kampung Kerinchi dan Sentul. Pada ketika ini, tentera
dari Askar Melayu lebih awal dikerahkan menjaga keselamatan sekitar Kuala
Lumpur. Pasukan FRU di keluarkan dari Kampung Baru dan Askar Melayu dikerah
untuk mengambil alih kawalan.Rusuhan dapat di kawal dengan mengunakan gas
pemedih mata, perintah berkurung 24 jam (curfew order) diumumkan oleh radio
pada pukul 7.30 petang dan di televisyen pada 8 malam. Begitulah yang dilaporkan oleh kebanyakan
media rasmi negara dan diberitahu kepada khalayak.
Satu lagi versi yang baru didedahkan berkenaan punca sebenar memori luka
13 Mei 1969 adalah berdasarkan oleh laporan yang dideklasifikasikan di Pejabat
Rekod Awam di London berkenaan 13 Mei 1969. Laporan ini telah diteliti oleh
seorang ahli sosiologi, Dr Kua Kia Soong yang telah memuatkannya dalam buku
beliau berjudul “May 13: Declassified Documents on the Malaysian Riots of
1969.”
Pada akhir tahun 2007, Pengetua Kolej New Era itu telah mengambil cuti
belajar selama tiga bulan untuk meneliti rekod dan dokumen di Pejabat Rekod
Awam di London mengenai tragedi 13 Mei yang telah dideklasifikasikan selepas
luputnya tempoh 30 tahun dokumen berkenaan dideklasifikasi sebagai rahsia.
Hasil kajiannya ke atas dokumen yang dideklafisikasikan itu mendapati
rusuhan 13 Mei itu bukanlah berpunca daripada keganasan kaum, sepertimana yang
telah digambar kepada rakyat Malaysia.
Menurut Dr Kua perkara sebenar yang menjadi punca kepada rusuhan ini
ialah wujudnya cubaan untuk mengambil alih kuasa pemerintahan daripada Tunku
Abdul Rahman pada ketika itu. Hal ini berdasarkan beberapa kemunculan
kumpulan-kumpulan samseng yang telah dikumpulkan dalam masa yang singkat.
Sejurus selepas peristiwa 13 Mei 1969 Agensi Perisikan Pusat (CIA) dapat
mengesan apa yang telah dirancang oleh Tun Razak iaitu 'untuk memperkukuhkan
ketuanan Melayu, meminggirkan kaum Cina dan mengenepikan Tunku(Perdana Menteri'.
Sumber ini turut mempertikai tugas polis ketika rusuhan berlaku, polis
dan tentera di Malaysia pada ketika itu merupakan anggota yang hebat dan mampu
menghalang komunis dan pengganas. Walau bagaimanapun, mereka gagal menghalang
rusuhan yang berlaku walaupun telah beberapa minggu.
Demikianlah dua kisah tentang memori berdarah 13 Mei 1969. Terpulang
kepada kita hendak menyebelahi mana-mana pihak, akan tetapi, perkara yang
harusnya sama-sama kita ambil iktibar ialah perkara utama yang menjadi punca
memori berdarah ini. Kedua-dua versi cerita menunjukkan betapa kuasa dan
pangkat telah menyebabkan nilai perpaduan kita hancur musnah. Politik dan
pemnerintahan menjadi api dalam sekam, membakar hangus kepelbagaian yang
seharusnya kiita raikan bersama. Melihat senario yang berlaku hari ini,
mungkinkah ia akan kembali muncul dalam dasawarsa ini.
Saban tahun kita kenang 13 Mei 1969, tetapi hari demi hari, kita
seakan-akan mempunyai detik yang hampir akan mewujudkan jalan cerita yang sama.
Kita mencari cara untuk berkuasa dan melupakan bahawa kita hidup di bawah
langit yang sama, berdiri di atas tanah yang sama. Justeru, harus kita sentiasa
waspada mengekalkan keharmonian ini bersama. 13 Mei 1969, biarlah ia kekal
menjadi memori luka lama. Jadikan memori ini satu iktibar untuk kita dan
generasi seterusnya. Perpaduan hari ini, perlu sama-sama kita letakkan melebihi
pangkat, politik, harta dan kuasa. Ini kerana kita Malaysia. Perkara yang
membezakan kita dengan mana-mana negara ialah kita hidup dalam kepelbagaian
berbeza di bawah semangat yang sama. Semangat 1Malaysia. Perpaduan dalam
kepelbagaian. Semoga tiada lagi peristiwa 13 Mei 1969 dan yang seumpama
dengannya. Damailah dalam memori luka lama.
Ishak Sairozi
Comments
Post a Comment