Megah sebuah negara Malaysia yang rakyatnya
berbilang kaum dicanang serata dunia sebagai harmoni dan sentosa. Malaysia
bangga. Bangganya rakyat di sebuah negara yang dipisah Laut China Selatan
diangkat, dinobat kerana perpaduannya adalah yang paling terkenal di serantau
dunia. Negaraku dilaung, semboyan, perarakan, perbarisan dan kemeriahan
sambutan merdeka adalah kebanggan yang menunjukkan bahawa kita sudah merdeka
sebagai Malaysia selama 59 tahun lamanya.
Negara yang ditanamkan nilai murni, dihembuskan
toleransi dan hidup berbudi dalam masyarakat integriti pada hari ini adalah apa
yang pernah kita miliki. Ya benar. Semuanya pernah kita miliki. Hari ini,
Malaysia sudah tidak lagi boleh berbangga dengan nilai murni yang kita
seharusnya ada. Hari ini, masyarakat bertamadun, kaya-raya, berjaya, sudah
seakan hilang nilai murni sebagai manusia.
Pada zaman millennia, zaman berkereta jenama
negara megah menyusur dijalan raya, rakyatnya hilang asas pembentukan tamadun
yang paling mulia iaitu budi bahasa. Tingginya ilmu yang diperoleh, tingginya
darjat dan murahnya rezeki yang diberkati dan diperolehi kepada generasi masa
kini telah melahirkan manusia Malaysia yang tidak berbudi. Berkemeja kemas,
berkasut tumit tinggi, daripada berkereta kancil hinggalah ke Audi, kita sudah
berjaya daripada segi kehidupan dan kesenangan, tetapi daripada segi budi
pekerti, kita semakin hilang jati diri.
Benarkah budi bahasa bukan lagi budaya yang
kita boleh bangga? Sudah hilangkah nilai murni ini dalam negara pelbagai kaum
ini? Kenyataan ini amat berat untuk kita terima pada hari ini. Mungkin tiada
siapa yang sudi menyiarkan berita ini dimana-mana kerana ia hanya umpama
tohmahan yang berbentuk negatif semata-mata. Tetapi, persoalan ini timbul tatkala
melihat reaksi masyarakat negara kita yang tanpa segan silu melontar pelbagai
kata nista, fitnah dan kata menghina atas pemergian orang ternama. Kematian
seorang tokoh agama yang disegani Dr Haron Din seakan-akan dirai oleh mereka
yang tidak menyukai latar belakang agamanya.
Dr Harun Din, seorang tokoh agama yang ilmunya
penuh didada, berbakti kepada ribuan manusia tetapi kematiannya dikeji dan
dibenci hanya kerana latar belakangnya tidak sama dan tidak disukai oleh mereka
yang tidak sealiran dengannya. Pelbagai kejian dilemparkan malah ada yang lebih
hina mempertikaikannya disemadikan di luar negara dengan memberikan gelaran
tanah kafir tempat arwah dikebumikan. Tuhankah kita semua sehingga berkuasa
memberikan gelaran kafir di tempat yang dicipta oleh pemilik sekalian alam?
Keadaan ini, turut dihadapi oleh seorang
anggota Puteri UMNO yang kemalangan akibat kereta kenari yang dipandunya
terbabas. Kematian ialah satu lambang keinsafan yang harus diambil sebagai
pengajaran. Malangnya, mereka yang tidak sepakat dengan pimpinan barisan
nasional, melemparkan tohmahan dan hinaan terhadap arwah yang masih belum merah
tanah kuburnya. Budaya apakah ini? Adakah perbezaan parti menghalalkan kita
untuk meraikan kehilangan nyawa seorang manusia yang ditimpa musibah dan tamat
riwayat hidupnya secara kemalangan yang menyedihkan?
Kemanusiaan di Malaysia semakin mati. Kes ini
bukanlah yang pertama kali berlaku di Malaysia. Kenyataan-kenyataan yang
berbentuk penghinaan terhadap mereka yang meninggalkan dunia ini juga pernah
berlaku terhadap Karpal Singh yang meninggal dunia kerana kemalangan yang
menyayat hati pada suatu masa dahulu. Ketika itu, ramai yang dengan senang
hatinya mengeluarkan kenyataan mahu melangkah mayatnya dahulu tanpa segan silu.
Mana kemanusiaan? Mana budi bahasa? Mana nilai pekerti seorang manusia?
Ini adalah kesilapan-kesilapan besar kita dalam
hidup sebagai rakyat yang sejahtera dan harmoni. Kita tidak sedar bahawa kita
telah menjadi tuhan dalam kehidupan seharian. Kita rasa bahawa kita boleh buat
apa sahaja dengan menggunakan hak dan kebebasan bersuara. Kita rasa bahawa
dengan meraikan kematian orang yang kita tidak suka adalah pembalasan dendam
yang biasa. Ini adalah silap kita sebagai manusia. Kematian adalah pengajaran
kepada manusia. Kematian adalah usaha Tuhan untuk menunjukkan kepada kita,
adakah kita rasa kita boleh hidup selama-lamanya?
Pada hari ini, kita seharusnya bermuhasabah
diri, menilai apa yang berlaku kini. Jika kita tidak boleh bersikap simpati
terhadap si mati, sedarlah bahawa kemanusiaan dalam diri kita sudah mati.
Bersifat empatilah, kerana hari ini cacian dan kejian kita terhadap si mati
yang kita benci, mungkin satu hari akan diterima oleh keluarga kita, atau diri
kita sendiri apabila tibanya mati.
Artikel ini bukanlah untuk kita mengingati
mati. Ini adalah usaha untuk menyelamatkan pertelingkahan kaum yang wujud
kerana kematian tiga orang ternama di Malaysia. Berhentilah mencari kesalahan
sesama kaum. Hapuskan sentimen “chauvinis”, “islamophobia” dan pengkafiran
serta sifat menghukum dalam kalangan masyarakat. Hidupkan semula kemanusiaan
yang sedang mati dengan cara hormat, menghormati, sayang menyayangi, empati dan
berbudi bahasa sesama kita. Semoga Malaysia akan terus hidup dalam suasana aman
dan harmoni dan kembali berbangga sebagai sebuah negara bangsa yang disegani
dengan budi pekerti mulia.
Ishak Sairozi
Eksekutif Yayasan
1Malaysia.
Comments
Post a Comment